Aku tidak pernah membaca "Interlok" karya sasterawan negara Abdullah Hussin. Jadi secara jujurnya aku tidak mempunyai hak untuk mengulas isu ini yang kebelakangan ini menjadi satu isu hangat. Apa yang aku faham, novel tersebut bukanlah satu novel baru tetapi telah diterbitkan lebih kurang 40 tahun lalu. Dan selama tempoh tersebut, tiada isu berbangkit mengenai novel tersebut.
Apakah isu yang berbangkit pada hari ini?
Menurut apa yang aku faham dari pembacaan dan maklumat-maklumat dari media massa, bantahan terhadap novel tersebut bermula apabila Kementerian Pendidikan ingin menggunakan novel tersebut sebagai bahan bacaan pelajaran sastera Tingkatan 5. Yang menjadi isu adalah perkataan "pariah" yang terdapat di salah satu bahagian di dalam novel tersebut yang mana dikatakan menghina kaum India.
Apakah pengarang Interlok sememangnya menghina kaum India di Malaysia?
Menurut pengarang novel tersebut, penggunaan perkataan "pariah" bukanlah merujuk kepada kaum India di negara ini. Sebaliknya, ia merujuk kepada watak warganegara India yang berhijrah. Beliau turut menyatakan bahawa jika dibaca keseluruhan novel tersebut, ianya menceritakan tentang perpaduan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Aku secara dasarnya mengakui dan menerima penjelasan beliau kerana sejarah jelas menunjukkan bahawa India sememangnya mengamalkan sistem kasta malah perkara tersebut masih wujud sehingga hari ini.
Namun begitu, meletakkan diri aku di tempat mereka dari kaum India, aku merasakan permintaan mereka jika kerajaan hendak meneruskan penggunaan novel tersebut di sekolah, pindaan harus dibuat pada bahagian yang terdapat perkataan "pariah" tersebut adalah wajar.Mungkin sesetengah pihak mengatakan pindaan tersebut akan menjejaskan nilai sastera tersebut.
Alasan aku mudah, kewajipan untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman adalah lebih utama dari nilai sastera novel tersebut.Lagipun, sebagai seorang Islam kita tidak sepatutnya menyakiti sesiapa sahaja dengan isu-isu yang sensitif selagi mana ianya tidak menyebabkan penghinaan ke atas agama Islam. Kewajipan menjaga sensitiviti ini bukanlah ke atas saudara semuslim sahaja, tetapi juga ke atas penganut agama lain selagi mana mereka tidak memusuhi Islam.
Jika kita bersetuju bahawa pindaan akan menyebabkan nilai sastera novel tersebut terjejas, maka sepatutnya kerajaan membatalkan terus penggunaan novel tersebut sabagai buku teks tingkatan 5.
Seterusnya, telah diceritakan bahawa sahabat-sahabat Rasulullah ada yang pada mulanya adalah hamba sahaya. Apabila mereka telah dimerdekakan dengan kedatangan Islam, perkara tersebut tidak pernah diungkit kerana Islam meletakkan semua manusia di kedudukan yang sama. Hanya iman dan taqwa sahaja yang akan membezakannya. Jadi, walaupun mereka dari kaum India ini bukanlah beragama Islam, tetapi Islam telah menggariskan hak mereka dari apa-apa bentuk penghinaan.
Di sebalik isu ini, aku harap mereka-mereka yang telalu mengagungkan kebebasan bersuara dan berkarya faham bahawa kebebasab tersebut bukanlah mutlak. Jika sesuatu apa yang disuarakan itu boleh mengganggu perasaan orang lain, maka ianya tidak memberi kebebasan untuk kita menyatakan sesuka hati.
Di sini juga menjelaskan sifat manusia, apabila sesuatu menggambarkan sesuatu yang negatif tentang diri mereka, maka mereka akan melenting dan membantah walau pun apa yang diperkatakan itu adalah jelas di dalam lembaran sejarah.
Aku juga berharap kerajaan apabila ingin membuat satu dasar atau rancangan, kajian perlu dibuat sebaiknya sebelum mengisytiharkan kepada rakyat. Bukannya bila sudah menerima respon negatif, barulah hendak membuat kajian dan perbincangan.
p/s: Ini hanyalah pendapat kasar aku tanpa membaca novel tersebut tetapi berdasarkan apa yang diperkatakan di media massa.