Sekarang ini kecoh dengan isu rakaman skandal seks seorang lelaki yang dikatakan menyerupai seorang pemimpin pembangkang. Maka, bermulalah perang di internet yang membela pemimpin pembangkang tersebut dan yang membela Datuk T, pihak yang mula menyebarkan rakaman tersebut. Apa yang lebih menyedihkan, ramai yang membuat spekulasi dan tuduhan liar.
Jelas sekali bahawa masyarakat hari ini tidak takut dengan azab dan bencana akibat fitnah. Sedangkan dari bangku sekolah rendah kita diajar melalui cerita sejarah ataupun mitos tentang akibat fitnah terhadap sesuatu masyarakat. Lupakah kita kepada cerita sumpahan Mahsuri yang difitnah melakukan zina sehingga mundurnya Pulau Langkawi sehingga 7 keturunan? Lupakah kita kepada kisah Sultan Mahmud Mangkat dijulang kerna marahnya Laksamana Bentan terhadap Sultan yang membelah perut isterinya akibat termakan fitnah? Lupakah kita bahawa antara faktor jatuhnya kesultanan Melayu Melaka adalah akibat fitnah?
Dan, yang paling penting, LUPAKAH KITA TENTANG AZAB ALLAH TERHADAP MEREKA YANG MENYEBARKAN FITNAH? Berhati-hatilah kita apabila kita bercakap atau menulis sesuatu, takut kita melakukan fitnah yang mana dosanya tidak terampun selagi mana orang yang kita fitnah itu tidak memaafkannya. Semoga Allah melindungi kita dari dosa tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan