Selasa, 1 Mac 2011

Kejor Yob Kejor!!!

Tahniah aku ucapkan kepada pemain-pemain pasukan bolasepak Perak yang bangkit dari ketinggalan 0-1 kepada pasukan Harimau Muda untuk mengikat keputusan 1-1 dalam perlawan Liga Super di Stadium Perak. Mungkin pasukan tahun ini tidak setanding pasukan tahun 1990, tahun 1998, tahun 2000 dan 2001, tapi aku yakin pasukan kali ini mempunyai potensi yang baik untuk mengembalikan maruah pasukan Perak yang tercalar beberapa tahun kebelakangan ini akibat keputusan tidak memuaskan dalam liga tempatan termasuk masalah kewangan yang mengakibatkan penghijrahan beramai-ramai pemain-pemain bintang ke pasukana lain. 

Aku gembira apabila pengurusan pasukan dan pentadbiran Persatuan Bolasepak Perak telah berjaya mengatasi masalah yang kewangan yang dihadapi. Perkembangan positif tersebut telah menyaksikan beberapa bintang seperti Akmal Rizal Rakhli menyertai pasukan ini disamping kembalinya bekas pemain Perak, Shahrul Nizam Mustapha ke pangkuan pasukan negeri dan mengetuai pasukan ini. Perlantikan Cikgu Jan adalah satu keputusan bijak memandangkan beliau mempunyai track record yang baik ketika menerajui pasukan Perlis di samping pernah membimbing pasukan kebangsaan. 

Aku akui bahawa minat dan sokongan aku terhadap pasukan negeri kesayanganku ini mula berkurang sejak penghijrahan pemain-pemain utama pasukan pada tahun 2003 yang kemudiannya menyebabkan aksi pasukan merosot. Namun, melihat perkembangan terbaru pasukan Perak, hatiku menggamit untuk kembali untuk menyokong pasukan ini walaupun aku masih belum dapat memberi sokongan di stadium.

Mengenang kembali minat dan sokongan aku terhadap pasukan Perak adalah bermula pada umur 7 tahun ketika Perak menjadi juara pertama Piala FA pada tahun 1990. Aku masih ingat lagi ketika itu Perak ketinggalan 0-2 kepada pasukan Selangor yang ketika itu mempunyai Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan. Namun begitu, pasukan Perak bangkit untuk menang dengan jaringan 4-2 hasil jaringan Aung Ning (2 gol), Mohd Nidzam Adha dan Zulkipli Mansor masing-masing 1 gol. Keesokannya, ketika bersiap hendak ke sekolah, jiran sebelah rumah telah memberitahu bahawa Sultan Perak telah mengisytiharkan cuti umum bagi Negeri Perak Dan sebenarnya, di sinilah bermulanya minat aku terhadap sukan bolasepak. Ketika itu, Azizul Abu Hanifah dan Mohd Nidzam Adha adalah antara bintang utama pasukan Perak. Malang sekali buat pasukan Perak apabila beberapa pemain Perak telah dibuang daerah akibat rasuah yang menyebabkan kesan negatif kepada pasukan.

Tahun 1998 kembali menaikkan nama Pasukan Perak. Pada tahun tersebut, Perak telah menjuarai Piala Malaysia apabila  menewaskan Terengganu Stadium Nasional Bukit Jalil. Walaupun keputusan perlawanan hanya ditentukan melalui sepakan penalti, kejayaan tersebut nyata memberi perkembangan positif kepada satu era bolasepak di negeri Perak. Antara pemain yang menjadi kegemaran aku ketika ini ialah Azrul Amri Borhan dan Indra Putra Mahayuddin.
Juara Piala Malaysia 1998

Perak sekali lagi menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2000. Ketika ini aku masih ingat bagaimana aku bersama-sama rakan-rakan telah diarahkan oleh seorang guru untuk menyediakan tempat bagi menonton perlawanan akhir Perak v Negeri Sembilan. Dewan sekolah menjadi pilihan yang menyaksikan tepukan dan sorakan kepuasan ketika Perak menumpaskan Negeri Sembilan. Jelas sekali, pasukan Perak yang diketuai oleh Ahmad Shahru Azhar jelas menguasai perlawanan dengan serangan-serangan yang diketuai oleh penyerang kembar Khalid Jamlus dan V. Saravanan berjaya merobek gawang Negeri Sembilan walaupun ketinggalan dengan jaringan Affendi Malik di awal babak pertama.

Pada tahun 2001, Pasukan Perak kembali ke perlawanan akhir Piala Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan. Kali ini, Terengganu hadir bagi bagi membalas dendam kekecewaan pada tahun 1998. Nyata malam tersebut menjadi milik Sapian Wahid yang menjadi wira Terengganu yang mengecap kejuaraan Piala Malaysia buat pertama kali dan menamatkan impian Perak untuk menjuarai Piala Malaysia secara 'back to back'.


Kekecewaan pada tahun 2001 tersebut nyata tidak menjadi penghalang kepada perkembangan pasukan Perak. Untuk beberapa tahun sehinggalah tahun 2004, Perak adalah pencabar utama di kancah liga tempatan dan turut memenangi Piala FA pada tahun 1994. Namun, masalah kewangan, persaraan dan penghijrahan pemain-pemain utama ke pasukan lain yang menawarkan gaji lebih baik jelas menjejaskan pasukan. Pasukan Perak terpaksa mencari pemain-pemain muda bagi menggalas cabaran negeri di samping tunjuk ajar pemain senior.

KINI, dengan barisan baru yang lebih baik dari tahun-tahun lepas, sekali lagi aku harap Perak akan bangkit semula dan menjadi pencabar utama kejuaraan liga dan piala-piala utama di negara ini. Aku akui pasukan seperti Selangor dan Kelantan kini adalah gergasi utama liga tempatan. Pasukan-pasukan tersebut juga pernah menghadapi zaman malap tetapi kini bangkit menggegar.

Aku akui, seperti tahun-tahun yang lepas, Selangor dan Kelantan jelas di kelas yang lebih baik dan menjadi pilihan utama di samping pasukan harapan negara, Harimau Muda A. Namun begitu, pemain-pemain pasukan Perak pasti mahu lehadiran mereka di kancah liga Malaysia disedari dan akan memberi cabaran kepada pasukan-pasukan tersebut.

Maka, ayuh wira-wira negeri Perak, bangkit mencipta sejarah supaya kita tidak hanya diulit mimpi silam!!!

"KEJOR YEOB KEJOR!!!"



Tiada ulasan:

Catat Ulasan