Rabu, 23 Mac 2011

Hukum Syarak:Semua Sama!!!

Aku tertarik dengan satu status sahabat aku di Facebook di mana beliau telah menulis:

"Kalau kita pun sama-sama kata Datuk T itu pesalah seks maka tiadalah beza kita dengan puak-puak itu. Sesungguhnya hukum Qazaf itu terpakai kepada orang BN dan orang PR. Tidak ada yang terkecuali. Jagalah iman semasa menulis status FB."

Jelas sekali apa yang dimaksudkannya. Aku pernah berborak dengan rakan-rakan aku tentang fitnah. Kami bersepakat bahawa siapapun yang membawa satu fakta yang menuduh sesuatu pihak melakukan satu perbuatan, maka hendaklah dia membawa bukti. Jika tidak, maka tuduhan yang dikatakannya adalah merupakan fitnah dan perbohongan.

Senario negara pada hari ini amat menyedihkan apabila pelbagai isu-isu dan tuduhan-tuduhan yang tidak baik tersebar. Maka, berteriaklah individu yang dituduh dan penyokong bahawa pihak yang membuat tuduhan telah melakukan suatu fitnah. Maka dirujuknya ayat Quran mengenai fitnah, mengenai perlunya menyiasat sesuatu berita sebelum mempercayainya, dan sebagainya.

Kemudiannya, apabila pihak yang dituduh pula menuduh satu pihak yang lain tentang sesuatu perbuatan, maka pihak yang lain itu pula menggunakan hujah yang sama dan merujuk dalil-dalil syarak untuk membela diri.

Sebenarnya, jika dipandang dari sudut yang positif maka aku melihat bahawa kesedaran tentang hukum syarak dalam masyarakat Islam di Malaysia bertambah baik. Sudah tahu pasal hudud, qazaf dan lain-lain. Tapi, bila diselami sedalamnya, kelihatan terdapat isu "double standard" dalam penggunaan hukum Islam ini sedangkan ayat-ayat Quran dan hadis Rasulullah sendiri tidak pernah membezakan pemakaian dan perlaksanaan hukum tersebut. Lupakah kita bahawa Rasulullah telah menyatakan bahawa sekiranya puteri baginda sendiri mencuri, maka beliau juga akan dipotong tangannya?

ATAU SEMEMANGNYA KITA MUDAH LUPA???


Tiada ulasan:

Catat Ulasan