Khamis, 31 Mac 2011

Artis Kita: Belum Sampai Seru

 "__________ menutup aurat". 
Itulah tajuk satu artikel di dalam satu akhbar berbahasa Melayu. Siap dengan gambar pelakon tersebut memakai jubah. Dalam hati aku, "Alhamdulillah". Bukan apa, pelakon yang diperkatakan ini terkenal dengan cara berpakaian seksi yang menampakkan tubuh gebu dan menggiurkan. Jadi adalah merupakan satu berita baik jika dia sudah berubah.

Namun begitu, bila aku meneruskan pembacaan aku, nyatalah pemakaian menutup aurat itu bukanlah mengikut tuntutan agama sebaliknya "hanyalah sekadar tontotan lakonan". Dan biasalah kenyataan klise pelakon-pelakon dan penyanyi di Malaysia, "belum sampai seru lagi untuk bertudung". Dulu masa kecil, bila diseru sampai seru adalah "mim-alif-ta-ya"...

Rasanya malas lah aku nak komen kenyataan artis-artis di Malaysia kerna mereka ini kadang-kadang terlalu pandai ilmu agamanya. Pandai berdebat hukum. Cuma, aku harap kalau tidak bersedia nak pakai tudung, tak payahlah buat apa-apa komen. Dah meluat aku mendengarnya. Lagi satu, bila nak mula nak pakai tudung, tak payah-payah nak heboh. 

Fikir-fikirkanlah...

Selasa, 29 Mac 2011

YA ALLAH, janganlah Kau jadikan aku seorang yang menyebarkan fitnah ...

Sekarang ini kecoh dengan isu rakaman skandal seks seorang lelaki yang dikatakan menyerupai seorang pemimpin pembangkang. Maka, bermulalah perang di internet yang membela pemimpin pembangkang tersebut dan yang membela Datuk T, pihak yang mula menyebarkan rakaman tersebut. Apa yang lebih menyedihkan, ramai yang membuat spekulasi dan tuduhan liar.

Jelas sekali bahawa masyarakat hari ini tidak takut dengan azab dan bencana akibat fitnah. Sedangkan dari bangku sekolah rendah kita diajar melalui cerita sejarah ataupun mitos tentang akibat fitnah terhadap sesuatu masyarakat. Lupakah kita kepada cerita sumpahan Mahsuri yang difitnah melakukan zina sehingga mundurnya Pulau Langkawi sehingga 7 keturunan? Lupakah kita kepada kisah Sultan Mahmud Mangkat dijulang kerna marahnya Laksamana Bentan terhadap Sultan yang membelah perut isterinya akibat termakan fitnah? Lupakah kita bahawa antara faktor jatuhnya kesultanan Melayu Melaka adalah akibat fitnah?

Dan, yang paling penting, LUPAKAH KITA TENTANG AZAB ALLAH TERHADAP MEREKA YANG MENYEBARKAN FITNAH? Berhati-hatilah kita apabila kita bercakap atau menulis sesuatu, takut kita melakukan fitnah yang mana dosanya tidak terampun selagi mana orang yang kita fitnah itu tidak memaafkannya. Semoga Allah melindungi kita dari dosa tersebut.

Bahayanya Fanatik...

Khamis yang lepas sempatlah aku mendengar kuliah zohor di Masjid Jame' Kuala Lumpur.Dek kerna pergi lunch sebelum menuju ke masjid, maka aku terlepas beberapa bahagian dari kuliah tersebut. Namun seperti orang selalu katakan "Better late than never".

Antara yang aku sempat dengar adalah mengenai isu fanatik melampau yang mana ditegah oleh Islam. Fanatik membutakan hati dan fikiran. Fanatik boleh menyebabkan seorang muslim sanggup membunuh muslim yang lain akibat perbezaan ideologi.

Diceritakan oleh penceramah tersebut tedapat seorang dari golongan khawarij yang bertemu dengan seorang muslim lain yang mempunyai seorang isteri yang mengandung dan seorang hamba beragama kristian. Maka ditanya kepada lelaki tersebut mengenai pandangan beliau tentang peperangan yang berlaku di antara sesama muslim. Apabila lelaki tersebut memberikan pandangan yang mana bertentangan dengan ideologi lelaki khawarij tersebut, maka dipancungnya lelaki tersebut serta dibelahnya perut isterinya yang sedang mengandung. Walau bagaimanapun, hamba beragama kristian pula telah dilepaskan dan dimerdekakan kerana hamba tersebut tiada hak membuat pilihan kerna statusnya.

Lihatlah betapa tidak elok sikap fanatik melampau. Lihatlah bagaimana ramai muslim hari ini sanggup menyakitkan hati saudara seagama yang lain dengan kata-kata nista. Lupakah kita dengan suatu kisah di mana Rasulullah telah mengatakan bahawa seorang wanita yang baik amalannya tetap menjadi isi neraka kerana saudara se-Islam yang lain tidak selamat dari lidahnya? Kerana terlalu fanatik kita sanggup menyebarkan fitnah yang mana kita sendiri tidak pernah tahu kesahihannya sedangkan kita tahu dosa menyebarkan fitnah!!!

Sememangnya kita ini mempunyai sifat bias di dalam diri kita. Namun hendaklah kita tidak melampau sehingga menjadi terlalu fanatik. Kita takut akibat fanatik, kita sendiri tersasar dari jalan yang benar.

Rabu, 23 Mac 2011

Hukum Syarak:Semua Sama!!!

Aku tertarik dengan satu status sahabat aku di Facebook di mana beliau telah menulis:

"Kalau kita pun sama-sama kata Datuk T itu pesalah seks maka tiadalah beza kita dengan puak-puak itu. Sesungguhnya hukum Qazaf itu terpakai kepada orang BN dan orang PR. Tidak ada yang terkecuali. Jagalah iman semasa menulis status FB."

Jelas sekali apa yang dimaksudkannya. Aku pernah berborak dengan rakan-rakan aku tentang fitnah. Kami bersepakat bahawa siapapun yang membawa satu fakta yang menuduh sesuatu pihak melakukan satu perbuatan, maka hendaklah dia membawa bukti. Jika tidak, maka tuduhan yang dikatakannya adalah merupakan fitnah dan perbohongan.

Senario negara pada hari ini amat menyedihkan apabila pelbagai isu-isu dan tuduhan-tuduhan yang tidak baik tersebar. Maka, berteriaklah individu yang dituduh dan penyokong bahawa pihak yang membuat tuduhan telah melakukan suatu fitnah. Maka dirujuknya ayat Quran mengenai fitnah, mengenai perlunya menyiasat sesuatu berita sebelum mempercayainya, dan sebagainya.

Kemudiannya, apabila pihak yang dituduh pula menuduh satu pihak yang lain tentang sesuatu perbuatan, maka pihak yang lain itu pula menggunakan hujah yang sama dan merujuk dalil-dalil syarak untuk membela diri.

Sebenarnya, jika dipandang dari sudut yang positif maka aku melihat bahawa kesedaran tentang hukum syarak dalam masyarakat Islam di Malaysia bertambah baik. Sudah tahu pasal hudud, qazaf dan lain-lain. Tapi, bila diselami sedalamnya, kelihatan terdapat isu "double standard" dalam penggunaan hukum Islam ini sedangkan ayat-ayat Quran dan hadis Rasulullah sendiri tidak pernah membezakan pemakaian dan perlaksanaan hukum tersebut. Lupakah kita bahawa Rasulullah telah menyatakan bahawa sekiranya puteri baginda sendiri mencuri, maka beliau juga akan dipotong tangannya?

ATAU SEMEMANGNYA KITA MUDAH LUPA???


Isnin, 7 Mac 2011

Pentingnya akhlak dan adab dalam kehidupan...

Hari ini heboh pasal keceluparan seorang wanita bernama Farahana Jamaludin, Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia yang menyamakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan Ayah Pin. Dalam laporan Utusan Malaysia, Farahana telah dilaporkan menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai persamaan kerana mengaburi mata pengikut mereka demi memuaskan segala nafsu mereka.


Kebiadapan wanita ini telah mendapat teguran Mufti Besar Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang merujuk Surah Al-Hujurat: 11 yang maksudnya adalah seperti berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

Tan Sri Harussani berkata bahawa perbuatan menyamakan keperibadian seseorang dengan individu yang lain yang bertentangan dengan personalitinya adalah berdosa dan hukumnya fasik. Individu yang berbuat sedemikian hendaklah bertaubat dan perlu meminta maaf dari individu yang dikatakannya. 

Sememangnya aku percaya bahawa tindakan wanita ini adalah satu perbuatan biadap apabila menyamakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, seorang ulamak tersohor bukan sahaja di dalam Malaysia malahan di peringkat antarabangsa dengan Ayah Pin, seorang yang mengajar ajaran sesat dan masih dicari oleh pihak berkuasa. Aku percaya bahawa kenyataan wanita ini dibuat tanpa merujuk kenyataan Tuan Guru Nik Aziz sepenuhnya di mana beliau pastinya menghuraikan apa yang beliau katakan di samping menunjukkan dalil-dalil yang dirujuknya. Jika sekiranya tidak dapat menerima pendapat beliau, wajarkah wanita tersebut bersikap celupar sedemikian?

Bagi aku ini bukanlah kali pertama ulamak dihina oleh mereka yang jahil. Telah ada beberapa ulamak yang telah dihina dan dipanggil dengan macam-macam panggilan yang tidak baik. Bacalah di mana-mana laman sosial, blog-blog malahan di dinding tandas-tandas awam dan masjid. Begitu memalukan. Malahan ianya seolah menjadi satu kebiasaan apabila berlaku percanggahan pendapat dan pandangan, maka tohmahan dan cercaan menjadi amalan biasa. Ini bukan sahaja berlaku terhadap ulamak, malahan terhadap pemimpin-pemimpin lain dan individu-individu biasa dalam kehidupan seharian.

Persoalannya, apakah punca segala masalah ini?

Sedari kecil, ketika belajar di sekolah agama rakyat, selain belajar tauhid, feqah, bahasa arab, pelajaran AKHLAK turut diajar. Kita diajar supaya menghormati ibu bapa, guru-guru, orang yang lebih tua, dan rakan sebaya. Kita diajar dengan sifat-sifat mahmudah dan sifat mazmumah. Kita diajar supaya tidak menghina orang lain dan tidak memberi gelaran yang tidak baik kepada orang lain walau siapapun mereka.

Selain itu kita juga diajar bahawa dalam setiap perbuatan, ada adabnya. Bila kita dewasa, selari dengan perkembangan hidup, pelbagai adab diajar termasuk adab berjimak. Lihat betapa pentingnya adab dalam kehidupan. 

Jika akhlak dan adab-adab yang diajar di dalam Islam dihayati, kita tidak perlu pasukan FRU untuk memeriksa penyokong pasukan bolasepak yang hadir ke stadium lagi untuk memastikan mereka tidak membawa barang terlarang, kita tidak melihat 'jari tengah' ditunjukkan ketika memandu dan pelbagai perbuatan negatif lain.

Dan dalam konteks perbezaan pendapat, akhlak dan adab amatlah perlu. Hari ini pelbagai isu timbul dan terdapat pelbagai pandangan dan pendapat. Kemajuan teknologi menyaksikan perdebatan berlaku di ruang-ruang siber dalam pelbagai isu. Yang menyedihkan adalah melihat bagaimana sesuatu pandangan diberikan disertai dengan sumpah seranah dan hinaan ke atas pihak yang lain. Aku memahami bahawa yang berdebat tersebut bukan semuanya berilmu dan memahami batas-batas perdebatan dalam Islam, tapi bila melihat nama-nama yang menulis tersebut adalah nama seorang yang beragama Islam, maka ianya menyedihkan. 

Tatkala kita melaungkan bahawa Islam agama yang cantik, yang mengajar kepada penganutnya supaya bersikap dan bersifat mulia, yang mengajar umatnya bagaimana akhlak seharian, kita dalam masa yang sama menunjukkan kepada penganut agama lain contoh sebaliknya. Sikap dan perangai kita tidak menunjukkan Islam sebenarnya. Kita perlu ingat, apa jua objektifnya, "matlamat tidak pernah menghalalkan cara".

Aku menyedari senang bercakap dari melakukannya. Memanglah bila kita marah dengan sesuatu perkara, kita mudah mengikut perasaan dan melepaskan kemarahan dengan cercaan dan tohmahan. Tapi, janganlah sampai kita melampaui batas dan akhirnya terkeluar dari ajaran Islam itu sendiri.

"YA ALLAH, BERIKANLAH AKU PETUNJUK SUPAYA AKU TIDAK TERGOLONG DALAM GOLONGAN MEREKA YANG MELAMPAUI BATAS."

Jumaat, 4 Mac 2011

Fitrah untuk berbeza pendapat, tapi...

Hari ini aku terbaca mengenai pertentangan pendapat mereka yang bergelar ulama di negara ini. Kedua-dua pemimpin dan ulamak ini amat aku hormati kerana ilmu mereka dalam bidang agama. Aku memahami bahawa di dalam Islam, perbezaan pendapat adalah satu fitrah. Ulamak-ulamak besar seperti Imam Syafie dan Imam Malik turut mempunyai khilaf antara mereka, tetapi itu tidak menghalang mereka untuk menghormati dan mengiktiraf perbezaan antara mereka.

Cuma, yang membuat aku agak terkilan bila terbaca komen-komen mereka yang menyokong seorang ulamak ke atas ulamak yang lain. Ada yang taksub dengan satu ulamak atau pemimpin tertentu sanggup menghina ulamak yang satu lagi. Adakah kerana perbezaan pendapat maka kita dibenarkan untuk menghina dan mencerca pihak yang tak sealiran dengan pimpinan kita?

Bukankah ada adabnya dalam perbezaan pendapat?

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan melindungi kita dari menjadi antara mereka yang menghina ulamak sedangkan ilmu yang dimiliki tidak setara mana. Kita ini tidak terlalu jauh dan rendahnya ilmu dengan ulamak-ulamak besar dahulu kala yang boleh berijtihad tetapi tidak menghina ulamak lain atas ijtihad yang berbeza. Jadi, layakkah kita yang jahil ini menghina ulamak atas kejahilan kita? Tidak malukah kita?

Aku ni ilmu tak tinggi, jadi nak bagi pendapat pun tak le berani sangat. Tapi, suka aku berkongsi apa yang aku baca dalam majalah Solusi (Isu: 28) mengenai artikel tulisan Dr. Abd. Basit Abd. Rahman bertajuk "Menghormati Perbezaan Pendapat". Antara tulisan beliau adalah seperti berikut:

"Jangan sekali-kali berlaku cercaan antara dua golongan yang berbeza pendapat itu kerana kita tidak pasti adakah kita yang benar-benar beriman, yang sangat luas ilmu dan mempunyai akal yang lebih pintar dari orang yang kita cerca itu."

Penulis kemudiannya memetik kata-kata Syeikh Yahya Bin Sa'id rhm yang mana seperti berikut:

"Sentiasalah orang yang meminta fatwa itu bertanya kepada alim ulama kerana dalam setiap masalah. Muslim itu pasti ada perselisihan pendapat. Ada yang mengatakan halal, ada yang mengatakannya haram. Maka janganlah orang yang berkata halal itu mengatakan golongan yang berpendapat haram itu adalah satu golongan yang binasa, begitulah juga sebaliknya".

Penulis juga mengambil sikap Imam Ahmad yang berfikiran terbuka dan menghormati seorang ulamak lain iaitu Syeikh Ishak Bin Rawahih, walaupun antara mereka berdua mempunyai perselisihan pendapat dalam beberapa perkara. Perlu sentiasa diingat, setiap pendapat ulamak bukanlah satu wahyu yang mutlak yang mana tiada cela padanya. Pendapat ulamak adalah satu ijtihad yang dikeluarkan berdasarkan ilmu dan dalil yang mereka miliki. Andai ijtihad tersebut adalah benar, maka dua pahala bagi mereka. Jika sebaliknya, mereka tetap dikurniakan satu pahala.

Oleh yang sedemikian, sebagai orang awam maka hendaklah kita ini mengikut ijtihad seseorang ulamak tetapi janganlah pula  kita ini "Terlebih Kuah Dari Sudu", di mana kita mengkritik malah menghina ulamak yang kita tak persetujui pendapatnya. Apa yang menyedihkan, sebahagian kita orang awam ni, bila mengkritik bukanlah atas dasar ilmu (ye la, ilmu tak tinggi), tetapi semata-mata atas dasar ideologi yang dipegang.

Semoga Allah memberi aku diberi petunjuk dan kesemua umat Islam keseluruhannya.

Khamis, 3 Mac 2011

Sotong Masak Pedas ...Nyum Nyum

Hari ini balik lewat sikit sebab hendak siapkan hujahan dan ikatan otoriti untuk kes esok. Alah, recycle hujahan lepas je.HEHEHE...6.45p.m...mahu pulang, teringat nak makan apa malam ni?Dah 2 malam aku makan dekat cengkih...sama je. Nasi Putih, Tomyam campur, telur dadar dan air. Mana hendak dituju???

Hah...selepas hantar fail ke kereta, kaki melangkah ke Pasar Seni. Destinasi adalah kedai makan di tingkat paling atas Pasar Seni. Lama betul tak makan dekat sini. Kedai kegemaran aku adalah kedai yang tengah-tengah antara kedai-kedai makan di situ. Ntah...aku tak pernah tahu nama kedai tu. Tapi yang aku ingat, antara menu kedai itu adalak lauk yang dipanggil "Lauk Kahwin" iaitu campuran ayam, daging, sea food.

Sebenarnya kedai ini dari zaman matrik aku selalu makan. Zaman bercinta masa dekat main camp dulu pun selalu makan dekat sini tiap kali keluar dengan kekasih hati yang kini isteri tercinta. Beberapa tahun lepas tempat ini pernah dibuat renovation. Ingat lagi masa aku mula-mula joint Ghani & Co. Waktu lunch aku pergi naik tingkat atas Pasar Seni. Ingat hendak makan dekat kedai ini tapi keadaan agak teruk. Berterabur. Aku tak jumpa kedai ini. Lepas itu lama juga aku tak pergi naik tingkat ini lagi.

Cuma, sekali tu aku tak tahu hendak lunch dekat mana, aku pergi ke situ. Tak sangka keadaan sudah tidak berterabur. Hanya beberapa kedai makan yang tinggal. Antaranya, kedai faveret aku.

Dan setiap kali aku makan di sini, aku selalu order:

"Kak, sotong masak pedas dan nasi putih"


Selasa, 1 Mac 2011

Kejor Yob Kejor!!!

Tahniah aku ucapkan kepada pemain-pemain pasukan bolasepak Perak yang bangkit dari ketinggalan 0-1 kepada pasukan Harimau Muda untuk mengikat keputusan 1-1 dalam perlawan Liga Super di Stadium Perak. Mungkin pasukan tahun ini tidak setanding pasukan tahun 1990, tahun 1998, tahun 2000 dan 2001, tapi aku yakin pasukan kali ini mempunyai potensi yang baik untuk mengembalikan maruah pasukan Perak yang tercalar beberapa tahun kebelakangan ini akibat keputusan tidak memuaskan dalam liga tempatan termasuk masalah kewangan yang mengakibatkan penghijrahan beramai-ramai pemain-pemain bintang ke pasukana lain. 

Aku gembira apabila pengurusan pasukan dan pentadbiran Persatuan Bolasepak Perak telah berjaya mengatasi masalah yang kewangan yang dihadapi. Perkembangan positif tersebut telah menyaksikan beberapa bintang seperti Akmal Rizal Rakhli menyertai pasukan ini disamping kembalinya bekas pemain Perak, Shahrul Nizam Mustapha ke pangkuan pasukan negeri dan mengetuai pasukan ini. Perlantikan Cikgu Jan adalah satu keputusan bijak memandangkan beliau mempunyai track record yang baik ketika menerajui pasukan Perlis di samping pernah membimbing pasukan kebangsaan. 

Aku akui bahawa minat dan sokongan aku terhadap pasukan negeri kesayanganku ini mula berkurang sejak penghijrahan pemain-pemain utama pasukan pada tahun 2003 yang kemudiannya menyebabkan aksi pasukan merosot. Namun, melihat perkembangan terbaru pasukan Perak, hatiku menggamit untuk kembali untuk menyokong pasukan ini walaupun aku masih belum dapat memberi sokongan di stadium.

Mengenang kembali minat dan sokongan aku terhadap pasukan Perak adalah bermula pada umur 7 tahun ketika Perak menjadi juara pertama Piala FA pada tahun 1990. Aku masih ingat lagi ketika itu Perak ketinggalan 0-2 kepada pasukan Selangor yang ketika itu mempunyai Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan. Namun begitu, pasukan Perak bangkit untuk menang dengan jaringan 4-2 hasil jaringan Aung Ning (2 gol), Mohd Nidzam Adha dan Zulkipli Mansor masing-masing 1 gol. Keesokannya, ketika bersiap hendak ke sekolah, jiran sebelah rumah telah memberitahu bahawa Sultan Perak telah mengisytiharkan cuti umum bagi Negeri Perak Dan sebenarnya, di sinilah bermulanya minat aku terhadap sukan bolasepak. Ketika itu, Azizul Abu Hanifah dan Mohd Nidzam Adha adalah antara bintang utama pasukan Perak. Malang sekali buat pasukan Perak apabila beberapa pemain Perak telah dibuang daerah akibat rasuah yang menyebabkan kesan negatif kepada pasukan.

Tahun 1998 kembali menaikkan nama Pasukan Perak. Pada tahun tersebut, Perak telah menjuarai Piala Malaysia apabila  menewaskan Terengganu Stadium Nasional Bukit Jalil. Walaupun keputusan perlawanan hanya ditentukan melalui sepakan penalti, kejayaan tersebut nyata memberi perkembangan positif kepada satu era bolasepak di negeri Perak. Antara pemain yang menjadi kegemaran aku ketika ini ialah Azrul Amri Borhan dan Indra Putra Mahayuddin.
Juara Piala Malaysia 1998

Perak sekali lagi menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2000. Ketika ini aku masih ingat bagaimana aku bersama-sama rakan-rakan telah diarahkan oleh seorang guru untuk menyediakan tempat bagi menonton perlawanan akhir Perak v Negeri Sembilan. Dewan sekolah menjadi pilihan yang menyaksikan tepukan dan sorakan kepuasan ketika Perak menumpaskan Negeri Sembilan. Jelas sekali, pasukan Perak yang diketuai oleh Ahmad Shahru Azhar jelas menguasai perlawanan dengan serangan-serangan yang diketuai oleh penyerang kembar Khalid Jamlus dan V. Saravanan berjaya merobek gawang Negeri Sembilan walaupun ketinggalan dengan jaringan Affendi Malik di awal babak pertama.

Pada tahun 2001, Pasukan Perak kembali ke perlawanan akhir Piala Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan. Kali ini, Terengganu hadir bagi bagi membalas dendam kekecewaan pada tahun 1998. Nyata malam tersebut menjadi milik Sapian Wahid yang menjadi wira Terengganu yang mengecap kejuaraan Piala Malaysia buat pertama kali dan menamatkan impian Perak untuk menjuarai Piala Malaysia secara 'back to back'.


Kekecewaan pada tahun 2001 tersebut nyata tidak menjadi penghalang kepada perkembangan pasukan Perak. Untuk beberapa tahun sehinggalah tahun 2004, Perak adalah pencabar utama di kancah liga tempatan dan turut memenangi Piala FA pada tahun 1994. Namun, masalah kewangan, persaraan dan penghijrahan pemain-pemain utama ke pasukan lain yang menawarkan gaji lebih baik jelas menjejaskan pasukan. Pasukan Perak terpaksa mencari pemain-pemain muda bagi menggalas cabaran negeri di samping tunjuk ajar pemain senior.

KINI, dengan barisan baru yang lebih baik dari tahun-tahun lepas, sekali lagi aku harap Perak akan bangkit semula dan menjadi pencabar utama kejuaraan liga dan piala-piala utama di negara ini. Aku akui pasukan seperti Selangor dan Kelantan kini adalah gergasi utama liga tempatan. Pasukan-pasukan tersebut juga pernah menghadapi zaman malap tetapi kini bangkit menggegar.

Aku akui, seperti tahun-tahun yang lepas, Selangor dan Kelantan jelas di kelas yang lebih baik dan menjadi pilihan utama di samping pasukan harapan negara, Harimau Muda A. Namun begitu, pemain-pemain pasukan Perak pasti mahu lehadiran mereka di kancah liga Malaysia disedari dan akan memberi cabaran kepada pasukan-pasukan tersebut.

Maka, ayuh wira-wira negeri Perak, bangkit mencipta sejarah supaya kita tidak hanya diulit mimpi silam!!!

"KEJOR YEOB KEJOR!!!"