Sabtu, 2 April 2011

POCO-POCO!!!

Setiap kali sesuatu fatwa dikeluarkan, maka akan ada suara-suara yang menyuarakan pendapat tidak berpuas hati dengan berbagai alasan dan pendapat. Sama seperti fatwa terbaru yang dikeluarkan oleh  Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak sebagaimana dinyatakan oleh Mufti Perak, Tan Seri Harussani mengenai tarian poco-poco. Fatwa yang dikeluarkan tersebut telah dinyatakan dengan jelas di dalam surat Jabatan Mufti Negeri Perak kepada Pengerusi, Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking Perak yang mana seperti berikut:-




Sebagai seorang yang tidak berminat dengan tarian poco-poco ini, maka aku dapat menerima fatwa pengharaman tarian tersebut. Namun begitu bagi mereka yang terlibat dengannya, maka agak sukar menerima sebagaimana para perokok tegar masih belum dapat menerima fatwa pengharaman rokok.

Aku sempat membaca artikel Dr. Asri Zakaria yang mana beliau secara berhemah berpendapat seperti berikut:-
"Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan."

Aku ketika membaca artikel ini berasa gembira dengan sikap Dr. Asri dalam memberi pandangan beliau. Jelas sekali beliau tidak meletakkan perbezaan pendapat beliau sehingga hilang rasa hormatnya kepada ulama yang lain. Jelas sekali inilah yang dinamakan sebagai berbeza pendapat yang dikehendaki oleh agama. Tidak sebagaimana mana mereka yang lain, terutama dari golongan ahli politik yang hilang adab dan akhlak dalam berbeza pendapat. Dr. Asri telah memberikan dalil-dalil yang menjadi rujukan beliau dalam menyatakan bahawa tarian poco-poco adalah "harus" (Kepada yang berminat sila layari link berikut: http://drmaza.com/home/?p=1384#more-1384 ). Aku juga sempat membaca kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Syukri Mohamed yang meminta satu kajian menyeluruh dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu ini sebelum Negeri Kelantan memutuskan hukum tarian tersebut.

Kembali kepada isu poco-poco, aku rasa untuk diri aku dan peranan aku sebagai pemimpin keluarga aku, maka aku mengambil pendekatan untuk mengikut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Apabila ada keraguan pada sesuatu perkara, maka harus ditinggalkan. Itu yang terbaik. Kepada yang lain, terpulanglah kepada anda samada hendak mengikut fatwa tersebut atau tidak. Semoga Allah memberi petunjuk.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan