Ahad, 3 April 2011

Pelajar disiksa binatang!!!

Adakah seorang guru yang waras akan menyeksa pelajarnya ?
Takziah aku ucapkan kepada keluarga Allahyarham Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7 tahun yang meninggal dunia akibat dipukul oleh seorang guru kerana diruduh mencuri. Aku begitu terkejut bila menonton berita mengenai kes ini di TV. Kalau benarlah faktanya, aku lebih gemar memanggil dia sebagai "Binatang" dari menjatuhkan status guru-guru yang lain.

Menurut laporan berita dan pembacaan yang aku buat di internet, mangsa disyaki telah diikat di tingkat oleh guru tersebut yang juga merupakan warden di sekolah tersebut. Sebelum itu, guru tersebut telah dikatakan menerima laporan pelajar lain yang mengatakan mangsa telah mencuri duit pelajar lain.

Jika segala fakta yang dilaporkan adalah benar maka ia merupakan suatu perkara yang menyedihkan kerana ianya berlaku di sebuah sekolah agama. Sebagai seorang bekas pelajar sekolah agama, aku sememangnya berasa geram bila terdapat kes pukul yang melibatkan pelajar apatah lagi guru di sekolah-sekolah agama di seluruh negara. Aku akui bahawa kes-kes sebegini sememangnya berlaku, malah di sekolah biasa turut terjadi.

Jika benar fakta yang ini benar, maka aku sesungguhnya percaya bahawa guru tersebut sendiri tidak faham mengenai hukum Islam. Dalam Islam, tidak pernah dibenarkan mendera seorang yang dituduh melakukan sesuatu jenayah bagi mendapatkan pengakuan. Jika dia tidak mengaku, maka serahkan pada pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan. Dalam kes ini, jika sekalipun mangsa terbukti bersalah mencuri, dia tidak akan dihukum kerana dia bukan subjek kepada hukuman. Kenapa aku kata sedemikian? Kerana hukum hanya dikenakan ke atas seorang yang MUKALLAF, iaitu yang telah mencapai suatu umur dan mempunyai keupayaan untuk menentukan baik dan buruk. Mangsa berumur 7 tahun dan bukanlah seorang mukallaf. Jadi, apa yang diperlukan adalah mendidik bukan mendera.

Ya, kadang-kadang aku sendiri menjadi panas hati bila melihat perangai budak-budak yang nakal. Mahu dilempang rasanya. Tetapi, jika berbuat sedemikian, jelaslah kita ini hanya menurut hawa dan nafsu. Teringat satu ceramah di masjid Wangsa Maju, "Hidup kita ini macam naik bas. Kalau Pemandunya Nafsu, Konduktornya Akal, Penumpangnya Iman maka hancurlah hidup. Nafsu akan membawa kepada perkara yang jahat, akal memikirkan cara jahat melaksanakannya, maka Iman tak boleh buat apa. Maka pastikan Iman menjadi Pemandu, akal menjadi konduktor dan nafsu hanya penumpang yang mengikut sahaja arah yang dipandu oleh Iman."

Fikir-fikirkanlah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan