Ahad, 17 April 2011

Kopitiam:Halal tak?

Bulan Mac yang lalu telah dilaporkan mengenai sebuah kedai kopi yang menjual kopi yang mempunyai gelatin babi klik di sini .Kedai kopi atau dalam bahasa moden hari ini dikatakan telah beroperasi sejak 70 tahun lalu di negeri Johor dikatanya dikunjungi oleh 80% pelanggan beragama Islam. Perkara ini telah disahkan oleh Jabatan Agama Johor yang telah membuat serbuan ke atas kedai kopi tersebut di mana sampel kopi yang diambil disahkan positif gelatin babi.

Namun begitu, sehingga hari ini tidak pernah didedahkan secara rasmi apakah kedai kopi tersebut atau produk yang dikeluarkan? Pelikkan? Kalau sudah jelas tentang perkara ini mengapa tidak didedahkan? 

Hal ini pernah ditanyakan oleh seorang pemanggil sebuah radio di dalam satu slot berkaitan kepenggunaan kepada orang kuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia. Wakil persatuan tersebut telah memaklumkan bahawa mereka juga tidak mempunyai maklumat yang pasti tentang kedai tersebut. Walau bagaimanapun, wakil persatuan tersebut ada memberitahu bahawa mereka akan cuba mendapatkan maklumat tersebut tetapi sehingga kini aku masih belum melihat perkara ini didedahkan.

Pada pendapat aku, pendedahan ini perlu untuk kebaikan umat Islam dan kepada industri kopitiam ini sendiri. Walaupun di dalam laporan akhbar dinyatakan serba sedikit tentang kopitiam tersebut tetapi ianya tidak memadai. Bagi seorang muslim yang baik dan berhati-hati, dia akan meninggalkan terus dari meminum kopi yang disediakan oleh pengusaha beragama Islam, tapi jika seorang yang tidak kisah, dia akan minum dengan alasan tiada pengesahan.Kebaikan pendedahan kopitiam terlibat dapat melindungi perniagaan kopitiam lain yang akan menerima kesan tidak langsung dari perkara ini.

Sebenarnya, kita tidak sepatutnya hanya meletakkan tanggungjawab ke atas kerajaan atau pihak jabatan agama dalam hal berkaitan halal dan haram. Ini kerana mencari yang halal itu adalah sesuatu yang wajib ke atas kita sebagai seorang muslim. Tapi, seolah-olah trend hari ini atau penghayatan terlalu mendalam konsep 1Malaysia (walaupun senario ini sudah berlaku sebelum pengenalan konsep tersebut), aku lihat ramai orang Islam yang tanpa ragu-ragu makan di kedai-kedai makanan cina. Kalau tidak percaya, lihatlah di Restoran Sin Seng Nam di Leboh Pasar, Kuala Lumpur. Mungkin ramai yang akan berhujah bahawa ayam yang disembelih tetapi terfikirkah kita bahawa alatan memasak yang digunakan mungkin alatan yang sama memasak daging babi. Lagi pula restoran tersebut turut menghidangkan arak. Sedarlah bahawa makanan yang kita makan akan menjadi darah daging yang mana akan memberi kesan kepada ibadah, akhlak dan sebagainya.

Selasa, 5 April 2011

Porno di Parlimen???

Bila YB Karpal Singh mencadangkan supaya rakaman video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang, aku tidak terkejut. Dia bukannya faham hukum Islam. Apa yang dia katakan berdasarkan pandangan sekular dia.

Tapi, bila terdapat ahli-ahli parlimen dan individu-individu lain yang beragama Islam turut menyokong cadangan tersebut, aku tergamam dan menggeleng kepala. Alasan yang digunakan adalah "untuk mencari kebenaran". Adakah ini jelas menunjukkan mereka ini pun sekular sebagaimana Karpal Singh???

Kaedah feqah secara jelas memperuntukkan bahawa "MATLAMAT TIDAK HALALKAN CARA". Kita tidak dibenarkan menggunakan jalan yang salah dan dilarang walaupun tujuannya adalah untuk kebaikan. Sesuatu yang haram bila bercampur dengan yang halal tidak akan menjadikan perkara itu halal.Jelas sekali penayangan video tersebut adalah dilarang oleh Islam. Apatah lagi jika tujuannya adalah untuk mengaibkan individu tertentu ataupun hanya berlandaskan kepentingan politik sahaja.

Kemudiannya, Islam adalah satu agama yang cantik yang mana mengharamkan penganutnya daripada mendedahkan aib individu lain jika perkara tersebut tidak akan menyebabkan kezaliman terhadap individu yang lain. Jika sekiranya terhadap peruntukkan syarak bahawa perbuatan yang dilakukan oleh individu tersebut adalah sesuatu jenayah dalam hukum syarak dan rakaman tersebut adalah sebagai bukti, maka ianya perlulah diserahkan kepada pihak Mahkamah untuk tujuan perbicaraan. Penerimaan video tersebut sebagai bahan bukti mengikut hukum syarak adalah isu lain yang akan ditentukan di Mahkamah.

Sebenarnya, aku terfikir juga apa yang individu-individu yang menyokong penyiaran video tersebut di Parlimen terutama ahli-ahli parlimen fikirkan? Apakah yang mereka cuba sampaikan kepada generasi muda pada hari ini. Teringat lagi beberapa tahun lepas bagaimana isu filem-filem porno hebat didebatkan sehingga semua pihak mengutuk perkara tersebut. Tetapi hari ini seolah-olah ianya menjadi suatu yang dibenarkan. Malahan, terdapat pihak yang menyatakan bahawa tindakan memuat turun sebahagian dari video seks tersebut ke dalam You Tube adalah tindakan positif. 

DAN AKU JUGA HENDAK BERTANYA:
Tak malukah bila Parlimen kita mencipta sejarah sebagai
Parlimen pertama membuat tayangan video lucah?
Tapi, aku bersyukur bila bila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menyatakan seperti berikut:"During a Parliamentary session, MPs cannot even use unparliamentary words and throw baseless accusations. How can I allow the screening of something that is forbidden in Islam? It is purposely brought into the Dewan Rakyat". Alhamdulillah...

Ahad, 3 April 2011

Pelajar disiksa binatang!!!

Adakah seorang guru yang waras akan menyeksa pelajarnya ?
Takziah aku ucapkan kepada keluarga Allahyarham Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7 tahun yang meninggal dunia akibat dipukul oleh seorang guru kerana diruduh mencuri. Aku begitu terkejut bila menonton berita mengenai kes ini di TV. Kalau benarlah faktanya, aku lebih gemar memanggil dia sebagai "Binatang" dari menjatuhkan status guru-guru yang lain.

Menurut laporan berita dan pembacaan yang aku buat di internet, mangsa disyaki telah diikat di tingkat oleh guru tersebut yang juga merupakan warden di sekolah tersebut. Sebelum itu, guru tersebut telah dikatakan menerima laporan pelajar lain yang mengatakan mangsa telah mencuri duit pelajar lain.

Jika segala fakta yang dilaporkan adalah benar maka ia merupakan suatu perkara yang menyedihkan kerana ianya berlaku di sebuah sekolah agama. Sebagai seorang bekas pelajar sekolah agama, aku sememangnya berasa geram bila terdapat kes pukul yang melibatkan pelajar apatah lagi guru di sekolah-sekolah agama di seluruh negara. Aku akui bahawa kes-kes sebegini sememangnya berlaku, malah di sekolah biasa turut terjadi.

Jika benar fakta yang ini benar, maka aku sesungguhnya percaya bahawa guru tersebut sendiri tidak faham mengenai hukum Islam. Dalam Islam, tidak pernah dibenarkan mendera seorang yang dituduh melakukan sesuatu jenayah bagi mendapatkan pengakuan. Jika dia tidak mengaku, maka serahkan pada pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan. Dalam kes ini, jika sekalipun mangsa terbukti bersalah mencuri, dia tidak akan dihukum kerana dia bukan subjek kepada hukuman. Kenapa aku kata sedemikian? Kerana hukum hanya dikenakan ke atas seorang yang MUKALLAF, iaitu yang telah mencapai suatu umur dan mempunyai keupayaan untuk menentukan baik dan buruk. Mangsa berumur 7 tahun dan bukanlah seorang mukallaf. Jadi, apa yang diperlukan adalah mendidik bukan mendera.

Ya, kadang-kadang aku sendiri menjadi panas hati bila melihat perangai budak-budak yang nakal. Mahu dilempang rasanya. Tetapi, jika berbuat sedemikian, jelaslah kita ini hanya menurut hawa dan nafsu. Teringat satu ceramah di masjid Wangsa Maju, "Hidup kita ini macam naik bas. Kalau Pemandunya Nafsu, Konduktornya Akal, Penumpangnya Iman maka hancurlah hidup. Nafsu akan membawa kepada perkara yang jahat, akal memikirkan cara jahat melaksanakannya, maka Iman tak boleh buat apa. Maka pastikan Iman menjadi Pemandu, akal menjadi konduktor dan nafsu hanya penumpang yang mengikut sahaja arah yang dipandu oleh Iman."

Fikir-fikirkanlah...

Sabtu, 2 April 2011

POCO-POCO!!!

Setiap kali sesuatu fatwa dikeluarkan, maka akan ada suara-suara yang menyuarakan pendapat tidak berpuas hati dengan berbagai alasan dan pendapat. Sama seperti fatwa terbaru yang dikeluarkan oleh  Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak sebagaimana dinyatakan oleh Mufti Perak, Tan Seri Harussani mengenai tarian poco-poco. Fatwa yang dikeluarkan tersebut telah dinyatakan dengan jelas di dalam surat Jabatan Mufti Negeri Perak kepada Pengerusi, Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking Perak yang mana seperti berikut:-




Sebagai seorang yang tidak berminat dengan tarian poco-poco ini, maka aku dapat menerima fatwa pengharaman tarian tersebut. Namun begitu bagi mereka yang terlibat dengannya, maka agak sukar menerima sebagaimana para perokok tegar masih belum dapat menerima fatwa pengharaman rokok.

Aku sempat membaca artikel Dr. Asri Zakaria yang mana beliau secara berhemah berpendapat seperti berikut:-
"Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan."

Aku ketika membaca artikel ini berasa gembira dengan sikap Dr. Asri dalam memberi pandangan beliau. Jelas sekali beliau tidak meletakkan perbezaan pendapat beliau sehingga hilang rasa hormatnya kepada ulama yang lain. Jelas sekali inilah yang dinamakan sebagai berbeza pendapat yang dikehendaki oleh agama. Tidak sebagaimana mana mereka yang lain, terutama dari golongan ahli politik yang hilang adab dan akhlak dalam berbeza pendapat. Dr. Asri telah memberikan dalil-dalil yang menjadi rujukan beliau dalam menyatakan bahawa tarian poco-poco adalah "harus" (Kepada yang berminat sila layari link berikut: http://drmaza.com/home/?p=1384#more-1384 ). Aku juga sempat membaca kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Syukri Mohamed yang meminta satu kajian menyeluruh dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu ini sebelum Negeri Kelantan memutuskan hukum tarian tersebut.

Kembali kepada isu poco-poco, aku rasa untuk diri aku dan peranan aku sebagai pemimpin keluarga aku, maka aku mengambil pendekatan untuk mengikut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Apabila ada keraguan pada sesuatu perkara, maka harus ditinggalkan. Itu yang terbaik. Kepada yang lain, terpulanglah kepada anda samada hendak mengikut fatwa tersebut atau tidak. Semoga Allah memberi petunjuk.




RON...RON...RON...RM2.70

Tepat 12.00 tengah malam semalam, harga RON 97 naik lagi RM0.20 menjadikan harga terkini adalah RM2.70. Bagi rakyat yang berfikiran waras, tidak kira apapun fahaman politik pastinya marah dengan berita tersebut. Masakan tidak, ini bukan kali pertama harga naik dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Dan ini bukanlah kali pertama rakyat meluahkan rasa marah mengenai isu ini.

Bagi penyokong-penyokong pembangkang, inilah masa yang sesuai untuk menghentam kerajaan dan penyokong-penyokongnya. Ada yang mempersendakan slogan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Percapaian Diutamakan" sebagai "Rakyat Kena Dulu". Dalam hati aku kata,"Betul juga".Sempat membaca status kawan aku yang memperli golongan pemuda yang menyokong UMNO kerna hanya diam ketika ini.Aku sekali lagi hanya tersenyum sendirian. Agak naiflah kalau ada mereka yang menyokong UMNO untuk melalak mempertahankan kenaikan harga sebagaimana yang dilakukan oleh menteri yang berkaitan. Memang nak kena ganyang le di laman-laman sosial seperti Facebook dan sebagainya. Tapi baiasalah, bila sesuatu isu tidak menyebelahi sesuatu pihak, maka mana-mana penyokong pun akan ambil tindakan membisu.

Dan setiap kali harga RON 97 naik, maka dihujung laporan berita atau ulasan pihak-pihak yang berkaitan akan ditekankan "Harga RON 95 dan petrol kekal". Aku selalu terfikir mengapa perlu ditekankan perkara tersebut. Maka dalam fikiran aku, mungkin ianya bermaksud, "kalau tidak mampu nak pakai RON 97, pakailah RON 95 sahaja". Kalau ini yang cuba disampaikan (aku tekankan "kalau"), maka slogan "1Malaysia:Rakyat Didahulukan..." hanyalah sekadar slogan sahaja. Dan aku sama sekali merasakan bahawa tindakan mempermainkan dan mempersendakan slogan tersebut adalah teguran sinis yang bijak.

Sebagaimana yang ramai sedia tahu bahawa kenaikan harga minyak petrol bukanlah hanya sekadar beban untuk mengisi kenderaan sahaja (motorsikal dan kereta), tapi turut melibatkan harga barangan keperluan yang lain. Biasa kita dengar alasan peniaga-peniaga bila ditanya mengapa harga makanan naik, maka dengan bijak seolah seorang pakar ekonomi terbilang,"Harga minyak naik maka harga kos pengangkutan pun naik. Kami tiada pilihan lain tetapi terpaksa naikkan harga". Cuma, aku agak meragui dengan teori ini kerna setahu aku yang kurang ilmu ini, pengangkutan yang terlibat yang menghantar barangan ini biasanya lori yang mana tidak menggunakan minyak petrol.Jadi, mana kos yang naiknya???Fikir-fikirkanlah...