Rabu, 9 Februari 2011

Bersyukur pada Allah, Berterima kasih pada insan yang membantu

Aku mulakan dengan madah berikut:-

Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa

Cantikkan kan kata-kata di atas? Aku selalu mendengar orang berkata bahawa "kita hendaklah bersyukur pada Tuhan. Tak perlu berterima kasih kepada manusia". Benarlah, dalam Islam kita tentunya mengetahui setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah. Biar macam mana pun seseorang insan itu hendak menolong insan yang lain dalam menghadapi sesuatu kesusahan, jika tiada keizinan dari Allah, maka pertolongan tersebut tidak akan berjaya. Kita juga tahu setiap perbuatan dan pertolongan seharusnya tidak mengharapkan apa-apa pujian atau perhargaan dan balasan.

Bantulah mereka yang memerlukan dengan penuh keikhlasan
Aku juga selalu mendengar orang berkata, "nak terima kasih buat apa, itu kan memang dah tugas dan tanggungjawab mereka". Maksudnya, apabila sesuatu sudah menjadi tanggungjawab dan tugas seseorang, maka dia wajib lakukan. Jadi tidak perlu hendak berterima kasih kepada dia.

Jururawat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka
Tapi, betul ke pendapat-pendapat begini? Islam mengajar kita menjadi seorang insan yang menghargai jasa dan kebaikan orang lain. Tidak perlu membalas dengan wang ringgit, cukup sekadar dengan ucapan "Terima Kasih". Cuba tanya pada diri kita, berapa kali kita ucapkan terima kasih kepada pekerja restoran yang menghidangkan makanan yang kita minta? Kalau kita lakukan, cuba lihat reaksi mereka? Tentunya mereka turut menghargai perhargaan kita.

Baru-baru ini ketika kelahiran puteriku yang tercinta, Sara Humaira, setiap masa jururawat-jururawat datang melawat isteriku dan anakku untuk memastikan keadaan mereka. Kalau hendak ikutkan, apa yang diperbesarkan. Itu kan tugas mereka? Tapi, setiap kali lepas mereka melawat, aku dengan isteri akan ucapkan terima kasih. Apa yang berlaku selepas itu? Mereka kelihatan gembira dan sedia memberi bantuan kepada kami. Ada yang memberi tunjuk ajar bagaimana hendak menyusukan bayi dengan betul. Memberikan nasihat. Itulah harga yang kita perolehi bila kita saling menghargai.

Aku sebenarnya ingin mengulas isu ini berdasarkan apa yang berlaku kepada masyarakat kita dalam isu "Ops Piramid" yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang berada di Mesir akibat rusuhan di sana dan juga bantuan banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Ada pihak yang mempersoalkan mengapa kita harus berterima kasih kepada kerajaan sedangkan itu telah menjadi tanggungjawab mereka. Malahan ada yang mengambil peluang untuk mempolitikkan isu tersebut. Apa yang mengecewakan, mereka yang bercakap sedemikian, bukanlah individu-individu yang terlibat secara langsung dengan kejadian-kejadian tersebut. Tanyalah pelajar-pelajar Malaysia yang kembali dari Mesir atas usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan waris-waris mereka:"APAKAH PERASAAN MEREKA TERHADAP USAHA YANG DILAKUKAN OLEH KERAJAAN?". Mereka-mereka ini bukanlah semuanya dari keluarga kaya yang boleh membayar harga tiket penerbangan. Dan jika dari keluarga berada sekalipun, keadaan huru hara pastinya menyukarkan mereka untuk keluar dari sana. Kita sendiri diberitahu oleh pelajar-pelajar di san, ada di antara mereka yang diacukan senjata api. Kita dengar pun dah takut, apalagi mereka yang menghadapinya.
Antara rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah
Mendengar jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar dan warisnya dalam temubual yang disiarkan di TV, mereka amat menghargai usaha kerajaan. Mungkin ada pihak yang mengatakan mungkin itu temubual terpilih. Entahlah, tapi aku rasa mana-mana pelajar yang terlibat seharusnya berterima kasih kepada semua yang terlibat.

Berbalik kepada konsep bersyukur dan berterima kasih, kita semestinya bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya semua berjalan lancar. Dengan izinNya juga diberkan ilham kepada semua yang terlibat untuk merancang Ops Piramid tersebut. Kita juga sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan dan pihak yang terlibat atas usaha-usaha mereka. Kita perlu tahu bahawa terdapat usaha kepimpinan negara sendiri untuk menghubungi Raja Arab Saudi untuk memberikan bantuan sepatutnya. 

Mensyukuri nikmat Allah adalah antara cara kita menjaga hubungan dengan Allah. Tetapi, kita juga diajar bahawa kita wajib menjaga hubungan kita sesama manusia. Jadi, adakah hubungan kita menjadi harmoni sesama kita seandainya kita bersikap ego dan tidak tahu menghargai usaha dan bantuan orang lain? Fikir-fikirkanlah...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan