Rabu, 23 Februari 2011

Kelayakan Sukan Olimpik: Malaysia vs Pakistan

Alhamdulillah...
Tahniah diucapkan kepada pemain-pemain muda negara yang beraksi cemerlang dalam perlawanan menentang Pakistan...

Jelas sekali pasukan negara sememangnya layak untuk memenangi perlawanana dengan jumlah jaringan 2-0. Fakta bahawa Pakistan bermain dengan 10 orang pemain tidak bermakna kita bernasib baik kerana kualiti yang ditunjukkan oleh pemain negara adalah mempunyai kelas yang lebih baik dari pemain Pakistan. Malahan, skuad negera sebenarnya mampu mencipta kemenagan lebih besar.

Tahniah sekali lagi dan aku mengharapkan permainan lebih baik ditunjukkan apabila kita bermain di Lahore untuk perlawanan timbal balik nanti. Majulah sukan untuk negara!!!

Selasa, 22 Februari 2011

Ada apa dengan tabligh?

Jumaat lepas semasa aku dalam Bas Transnasional untuk balik Kluang, sempat berkenalan dengan satu brother ni. Banyaklah cerita diborakkan sampai aku tak boleh tidur. Niat sebenar nak tidur sebab bila sampai Kluang kena shift malam jaga Sara Humaira. Dalam borak-borak tu, brother ni tanya satu soalan dekat aku:"APA PANDANGAN AWAK PASAL TABLIGH?"

Bercerita pasal tabligh ini, teringat masa zaman belajar dulu. Masa zaman sekolah menengah memang ada rakan sebilik yang jadi tabligh. Malahan ada cikgu di sekolah aku yang aktif dengan aktiviti tabligh ini. Biasalah seruan "keluar 30 hari" untuk berdakwah.

Cerita pasal kawan, teringatlah dengan satu junior aku ni yang tinggal sebilik dengan aku ketika kami sama-sama menjaga bangunan asrama pelajar tingkatan 3. Benda yang selalu dia cakap dekat aku adalah pasal konsep "IKRAM SAHABAT". Konsep ini akan lebih terpakai bila aku atau rakan sebilik yang lain ada bawa makanan. Jadi, atas dasar Ikram Sahabat ini, maka dijamulah makanan kepada kawan ini. Sebenarnya ini bukan isu. Sudah tinggal sebilik, apalah sangat hendak berkongsi makanan. Cuma, setelah aku habis belajar dan jumpa kawan-kawan junior aku di universiti, adalah cerita bahawa dia ini bila ada makanan tidak pernah berkongsi. "Makan seorang" orang kata. Tersenyum aku mendengarnya.

Hendak jadi cerita, aku pernah terjumpa dengan junior aku ini bersama seorang lagi junior sekolah dekat surau Pasar Seni, Kuala Lumpur. Junior seorang ini tegur aku, tapi dia ini macam tidak kenal aku. Aku cakap dekat dia, "Mana Ikram Sahabat hang. Aku pun hang tak kenal?". Hahaha.

Masa belajar dekat universiti, golongan tabligh ini selalu buat ziarah ke setiap bilik untuk bagi tazirah ringkas. "Lima minit sahaja syeikh", kata-kata yang kerap diucapkan bila mereka menjengah bilik. Selalunya, kalau sudah tahu kumpulan tabligh ini hendak datang, maka dikunci pintu bilik. Bila mereka bagi salam, semua jawab dalam hati sehinggalah kumpulan tabligh ini berlalu pergi ke bilik lain. Tapi, kalau kehadiran kumpulan tabligh ini tidak disedari dan mereka dapat peluang masuk ke bilik, maka duduklah di dalam kumpulan mendengar tazkirah dari mereka. Seminit berlalu...2 minit...3 minit...4 minit...5 MINIT!Tazkirah masih tidak habis. Dalam hati mula berkata-kata, "Tadi kata Lima Minit.Ni dah lebih"...tapi tidak diluahkan hinggalah tazkrah tersebut habis melewati 30 minit. Dan, sebelum beransur, ketua kumpulan tabligh ini akan berpesan,"Jemputlah ke masjid buat halaqah" atau "Marilah menyertai kami di Masjid Sri Petaling".

Kembali kepada cerita brother tadi, dia memberitahu aku bahawa dia tidak berapa suka tentang golongan tabligh ini dalam beberapa perkara. Pertamanya, cara berpakaian golongan tabligh ini yang kotor dan selekeh. Ini seolah-olah memberkan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam yang dianggap sebagai pengotor. Keduanya, dia tidak gemar dengan sikap sebahagian tabligh ini yang membuat kumpulan sendiri ketika terdapat ceramah agama di dalam masjid. 

Secara jujurnya aku turut bersetuju dengan kenyataan-kenyataan brother tersebut tentang isu yang dikatakannya. Malahan, aku juga ada beberapa isu lain yang aku tidak berapa gemar tentang sikap golongan tabligh. Contohnya, ada di kalangan mereka ini yang keluar bermusafir berbulan-bulan sehingga melupakan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam di mana isteri dan anak-anak merupakan amanah dari Allah yang perlu dijaga.

Satu lagi yang aku tidak faham dengan golongan tabligh ini adalah cara mereka bercakap. Mengapa cara sebutan macam India pelat. Sebutan "Allah" disebut "Alah". Setahu aku, orang Melayu ini adalah satu kaum yang diberikan Allah keistimewaan mempunyai lidah yang lembut sehingga boleh menyebut perkataan-perkataan mengikut makhraj yang betul kalaupun tidak sedap dan sempurna. Adakah kerana jemaah tabligh ini banyak datangnya dari India atau negara Asia Selatan yang lain, maka kena ikut sebut macam diorang sedangkan sebutan kita lagi tepat.

Brother tu sungguh bersetuju dengan kata-kata aku. Kemudian aku cakap, "Walaupun apa yang saya kata, saya nak jelaskan, saya sebenarnya sangat respek mereka yang golongan yang menyertai tabligh ini.
Mengapa?

Kita mungkin seorang ahli politik yang hebat berpidato di pentas politik. Kita mungkin seorang peguam yang hebat berdebat di Mahkamah. Tapi untuk datang ke bilik dan rumah orang untuk mengajak mengingati Allah, bukan semua orang boleh buat. Bukan senang hendak berjumpa dengan orang ramai untuk mengajak mereka bercakap tentang agama, tentang kejadian alam ciptaan Allah dan sebagainya.

Kesimpulannya, kadang-kadang kita ini senang untuk highlight-kan perkara-perkara negatif yang terdapat apada sesuatu kumpulan. Tapi, kita gagal menghargai suatu sumbangan yang hebat golongan tersebut yang mana kita sendiri tidak sanggup hendak lakukan kalaupun kita mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Renung-renungkan...

Isnin, 21 Februari 2011

Tabik Azizulhasni!!!

Jelas dia wira negara!

Berdasarkan prestasi konsisten beliau, memang tidak dinafikan satu harapan yang tinggi diletakkan di atas bahu beliau untuk memberikan keputusan terpuji di Kejohanan Dunia di Manchester. Mempertahankan juara keseluruhan keirin sesuatu yang membanggakan. Yang membuat aku tabik kepada Azizulhasni Awang adalah bagaimana keputusan tersebut dicapai. Beliau terlibat dalam perlanggaran antara pelumba-pelumba.


Kemalangan tersebut telah menyebabkan serpihan kayu menyucuk bahagian kaki beliau. Bila aku tengok gambar bagaimana serpihan tersebut menembusi kaki beliau, aku rasa sungguh ngeri. Menurut beliau, tiada kesakitan dirasai ketika beliau bangun kembali dan menamatkan perlumbaan. Jelas sekali, semangat berkobar-kobar untuk berjuang menyebabkan kesakitan tidak dirasai sama sekali.

Beliau kemudianya telah dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan. Mujurlah kecederaan beliau tidak terlalu serius di mana tidak melibatkan arteri utama, otot dan tulang. Semoga beliau cepat sembuh dan terus cemerang di masa hadapan!!!

Artis Kita...

Hari Ahad lepas aku terbaca mengenai laporan tentang seorang artis Malaysia bergambar dengan anjing. Apa yang menarik perhatian aku ialah jawapan dia bila ditanya tentang gambar tersebut. Tanpa segan dia mengaku bahawa itu gambar dia dan menyatakan "tidak salah memegang anjing yang kering". Hah!Pandai juga hukum agama budak ni. Aku akui, memang hukumnya tidak salah memegang anjing kalau ianya kering. Kalau basah, kena samak. Tapi, tiada benda lain ke nak bergambar? Sepatutnya dia yang faham agama, pastinya mengetahui betapa sensitifnya untuk bergambar dengan haiwan yang diharamkan dalam Islam. Aku terfikir, sudah menjadi tabiat anjing suka menjelirkan lidahnya. Tidakkah anjing tersebut ada menjilat pakaian atau anggota tubuhnya. Aku betul-betul tidak faham dengan sikap artis ini.

Tidak silap aku, ini bukan kali pertama artis melayu dengan bangganya bergambar dengan anjing. Teringat lagi isu yang sama berlaku kepada Syarifah Sofia. Dan alasan yang sama diberikan. Dia telah menerima banyak kritikan apabila gambar tersebut tersebar. Aku ingat ini menjadi pengajaran kepada artis-artis lain. Tapi, nyata sangkaan aku sama sekali meleset. Jelas sekali apa yang dikatakan oleh Wardina Safiyyah bahawa artis-artis di Malaysia ini sememangnya tidak layak dipuja dan digelar idola. Tepat sekali!!! Aku sememangnya tidak pernah mengangkat artis-artis sebagai Idola. Tapi, inilah akhir zaman apabila masyarakat menjadikan artis-artis sebagai idola dalam hidup mereka.

MEMBACA SEMUA INI HATI AKU SAMA SEKALI TERASA PANAS HATI KE ATAS GOLONGAN ARTIS INI SEHINGGALAH...

Pemilik nama Mohd Hakim Lokman ini bukanlah calang-calang nama di persada seni negara ini. Antara watak utama di balik kegemilangan legenda-legenda rock di Malaysia. Siapa yang tidak kenal Search dan Wings? Lagu Taman Rashidah Utama ciptaan beliau adalah antara lagu kegemaran aku.Isabella yang sampai sekarang masil lagi "evergreen", liriknya ditulis oleh beliau. Dan beliau merupakan juri/pengkritik tetap dalam rancangan Raja Lawak Musim ke-5 yang mana baru-baru ini membuat pengiystiharan secara spontan menarik diri sebagai pengkritik rancangan tersebut. Jelasnya beberapa lakonan beliau dalam beberapa drama-drama TV baru ini bukanlah satu lakonan. Tidak seperti artis-artis lain yang melakonkan watak diazab dengan  tetapi kemudiannya keluar dari watak lakonan, lain pula jadinya. Pandai juga menjawab, "itu hanya lakonan sahaja". 

Apa yang berlaku ke atas Bob Lokman ini mengingatkan aku kepada pemegang watak utama filem "Ali Setan". Masya Allah!!! 

Aku mendoakan Bob Lokman untuk usaha beliau memperjuangkan Islam. Mungkin dia mempunyai cara-caranya untuk tujuan tersebut dengan memilih untuk berkecimpung dengan politik sebagai wadah perjuangan.

Tertarik dengan kata-kata beliau di dalam blog beliau:
"ALLAH DIUTAMAKAN, TAQWA DIUTAMAKAN". Indah sungguh kata-kata tersebut.

Sekurang-kurangnya kata-kata beliau ini menghilangkan kata-kata artis-artis lain yang memanaskan telinga aku.

Khamis, 10 Februari 2011

Valentine Day


The Sun, m.s 7
Hari ini aku terbaca satu laporan di akhbar The Sun bahawa Jabatan Agama Islam Selangor memberi amaran kepada semua pasangan Islam supaya tidak menyambut Hari Kekasih pada 14 Februari ini. Menurut laporan tersebut, mana-mana pasangan yang didapati menyambutnya akan diberikan kaunseling. Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGOs) di Pulau Pinang turut menjalankan kempen kesedaran kepada umat Islam tentang larangan menyambut sambutan tersebut.

Turut mengambil serius mengenai hal ini ialah Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi. Beliau telah dilaporkan membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat telah mengarahkan diadakan pemeriksaan ke atas sebarang aktiviti tidak bermoral yang berlaku pada 14 Februari ini. Yang mengejutkan, kenyataan beliau telah mendapat respon yang negatif daripada pemimpin-pemipin Pakatan Rakyat di mana Yang Berhormat Lit Kit Siang telah menempelak melalui laman sosial Twitter beliau menyatakan "Moral Policy Valentine Day or other day not PR policy". Speaker DUN Selangor juga melalui Twitter-nya menyatakan "Nasrudin Hassan Tantawi, keep your big mouth shut!". Kebiadapan mereka ini sama seperti kebiadapan Chua Soi Lek dan Ng Yen Yen mengenai cara pergaulan seorang muslimah.
Teruskan perjuanganmu akhi!!!

Jelas sekali puak-puak DAP ini tidak akan pernah setuju dengan sebarang peraturan-peraturan Islam. Apa yang tidak kenanya dengan polisi tersebut? Jika kita masih belum nyanyuk, pemeriksaan anti maksiat telah dijalankan bertahun-tahun di negara kita ketika sambutan-sambutan besar seperti Tahun Baru dan Hari Kebangsaan. Jadi apa masalah dengan polisi yang dinyatakan oleh Ustaz Nasrudin? Jika benarlah kata-kata Lim Kit Siang bahawa polisi tersebut bukan polisi Pakatan Rakyat, aku membuat rumusan bahawa "memastikan akhlak dan moral rakyat terjaga" bukan sesuatu agenda di dalam pentadbiran Pakatan Rakyat sekiranya menakluki Putrajaya, walaupun aku percaya PAS akan memperjuangkannya sebagaimana perjuangan PAS menubuhkan negara Islam.

Yang mengecewakan, tiada pemimpin Islam samada dari PAS, UMNO apatah lagi PKR yang mempertahankan Ustaz Nasrudin. Ini termasuk Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad yang dipetik oleh News Straits Times sebagaimenyatakan bahawa kenyataan tersebut "HANYA PANDANGAN PERIBADI" Ustaz Nasrudin. Sungguh mengecewakan apabila seorang yang berjuang di dalam sebuah parti Islam tidak memberi sokongan kepada saudara seperjuangannya sendiri di dalam parti yang sama di dalam isu berkaitan agama Islam. Jika benar Khalid Samad berkata begitu, soalan yang perlu ditanya kepada beliau, "APAKAH PANDANGAN BELIAU TENTANG SAMBUTAN HARI VALENTINE?"

Bolehkah mereka ini diharapkan membela Islam?
Kekecewaan aku bukan sahaja kepada YB Khalid Samad dan pemimpin pemuda Pakatan Rakyat yang lain, malah kepada  PEMUDA UMNO yang hanya berkokok tidak kena tempat atau di dalam isu-isu yang memberikan kepentingan kepada mereka. Menyalak hanya pada isu-isu terpilih. Sungguh memalukan!!! Tapi, bila difikirkan semula, mungkin mereka sendiri (bukan semua) tidak suka dengan saranan Ustaz Nasrudin tersebut. Mana tidak, beberapa isu yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang dicadangkan oleh pemimpin-peminpin UMNO tidak ditentang. Lihatlah isu Judi Bolasepak dan Rancangan menjadikan Malaysia sebagai Hub Hiburan.

Aku sesungguhnya berasa muak dengan ahli-ahli politik Melayu dan beragama Islam di negara ini yang kebanyakkan lebih rela menghentam saudara se-Islam tetapi takut membela saudara mereka dalam hal yang melibatkan agama Islam itu sendiri. Turut dikesali, pemuda-pemuda Islam ini atas dasar berlainan ideologi politik sanggup menghentam sesama sendiri hingga gagal untuk besatu dalam isu berkaitan agama. Alangkah baiknya jika YB Khairy Jamaluddin memberikan sokongan padu kepada Ustaz Nasrudin. Jika ini berlaku, rasa-rasanya berani lagi kah pemimpin DAP, MCA dan Gerakan bercakap tanpa memakai otak yang melibatkan sensitiviti orang Islam?

Kembali kepada isu sambutan Hari Kekasih, ianya berakar umbi dari tradisi agama Kristian. Jika kita beriman dengan Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Kafirun di mana menyuruh Rasulullah mengatakan kepada orang kafir. "Untuk kamu agama kamu, dan untukku agamaku!", mana mungkin kita hendak menyambut hari tersebut. Di dalam Islam, kasih sayang antara suami isteri perlu disemai setiap hari, bukannya hari tertentu. Begitu juga dengan sambutan hari-hari lain. Wajib menyayangi ibu dan ayah sepanjang hidup kita, dan bukannya pada hari tertentu. Aku tidak menyatakan bahawa menyambut Hari Ibu atau Hari Bapa itu salah kerana bagi aku sambutan tersebut tidak mempunyai unsur-unsur bertentangan nilai Islam. Ianya sama sekali dengan sambutan Hari Kekasih di mana sering berlakunya perkara-perkara yang ditegah agama.

Aku berdoa dan mengharapkan segala usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak yang cuba menghalang sambutan tersebut akan berjaya. InsyaAllah.
Katakan "Tak Nak" kepada Hari Kekasih!!!




Rabu, 9 Februari 2011

Meniru tradisi agama lain?

Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah al-Kafirun:-

Katakanlah (Wahai Muhammad):"Hai orang-orang kafir!
Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah
Dan kamu tidak menyembah (Allah) apa yang aku sembah
Dan aku tidak beribadat secara kamu beribadat
Dan kamu tidak mahu beribadat secara aku beribadat
Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku"

Firman Allah S.W.T adalah jelas bahawa setiap perbuatan kita seharian termasuk ibadat adalah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Islam adalah Ad-Din iaitu cara hidup. Maka, apa yang dimaksudkan sebagai "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku" menunjukkan bahawa kita dilarang untuk mengikuti cara hidup penganut agama lain. Dan, setiap perbuatan dan amalan seharian yang diniatkan kerana Allah adalah dianggap sebagai ibadat. Ini termasuk urusan perkahwinan.

Aku termenung apabila melihat satu gambar perkahwinan yang melibatkan satu pasangan muslim tetapi seolah-olah majlis perkahwinan pasangan bukan Islam. Aku sedia maklum bahawa si isteri baru sahaja memeluk agama Islam apabila hendak mengahwini pengantin lelaki yang merupakan ahli perniagaan melibatkan industri otomotif negara. Lihatlah gambar ini:-
Majlis Resepsi Perkahwinan SM Nasa dan Marion Caunter (nama Islam: Marion Rose Caunter Abdullah di Maldives
Terlintas di fikiran aku:-
  • Ketika merancang majlis ini apakah niat mereka?
  • Adakah berniat meniru budaya agama lain?
  • Jika si suami merasakan perlu untuk meraikan perkahwinan mereka mengikut budaya agama lain, bagaimana dia hendak mengajar isterinya tentang Islam?
  • Adakah memeluk Islam sekadar atas dasar perkahwinan?
Aku selalu mengingatkan diri bahawa aku tidak berhak menyatakan apa yang ada di dalam hati seseorang. Aku percaya Allah Maha Mengetahui. Aku mengharapkan telahan negatif aku tidak benar. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita.

Bersyukur pada Allah, Berterima kasih pada insan yang membantu

Aku mulakan dengan madah berikut:-

Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa

Cantikkan kan kata-kata di atas? Aku selalu mendengar orang berkata bahawa "kita hendaklah bersyukur pada Tuhan. Tak perlu berterima kasih kepada manusia". Benarlah, dalam Islam kita tentunya mengetahui setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah. Biar macam mana pun seseorang insan itu hendak menolong insan yang lain dalam menghadapi sesuatu kesusahan, jika tiada keizinan dari Allah, maka pertolongan tersebut tidak akan berjaya. Kita juga tahu setiap perbuatan dan pertolongan seharusnya tidak mengharapkan apa-apa pujian atau perhargaan dan balasan.

Bantulah mereka yang memerlukan dengan penuh keikhlasan
Aku juga selalu mendengar orang berkata, "nak terima kasih buat apa, itu kan memang dah tugas dan tanggungjawab mereka". Maksudnya, apabila sesuatu sudah menjadi tanggungjawab dan tugas seseorang, maka dia wajib lakukan. Jadi tidak perlu hendak berterima kasih kepada dia.

Jururawat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka
Tapi, betul ke pendapat-pendapat begini? Islam mengajar kita menjadi seorang insan yang menghargai jasa dan kebaikan orang lain. Tidak perlu membalas dengan wang ringgit, cukup sekadar dengan ucapan "Terima Kasih". Cuba tanya pada diri kita, berapa kali kita ucapkan terima kasih kepada pekerja restoran yang menghidangkan makanan yang kita minta? Kalau kita lakukan, cuba lihat reaksi mereka? Tentunya mereka turut menghargai perhargaan kita.

Baru-baru ini ketika kelahiran puteriku yang tercinta, Sara Humaira, setiap masa jururawat-jururawat datang melawat isteriku dan anakku untuk memastikan keadaan mereka. Kalau hendak ikutkan, apa yang diperbesarkan. Itu kan tugas mereka? Tapi, setiap kali lepas mereka melawat, aku dengan isteri akan ucapkan terima kasih. Apa yang berlaku selepas itu? Mereka kelihatan gembira dan sedia memberi bantuan kepada kami. Ada yang memberi tunjuk ajar bagaimana hendak menyusukan bayi dengan betul. Memberikan nasihat. Itulah harga yang kita perolehi bila kita saling menghargai.

Aku sebenarnya ingin mengulas isu ini berdasarkan apa yang berlaku kepada masyarakat kita dalam isu "Ops Piramid" yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang berada di Mesir akibat rusuhan di sana dan juga bantuan banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Ada pihak yang mempersoalkan mengapa kita harus berterima kasih kepada kerajaan sedangkan itu telah menjadi tanggungjawab mereka. Malahan ada yang mengambil peluang untuk mempolitikkan isu tersebut. Apa yang mengecewakan, mereka yang bercakap sedemikian, bukanlah individu-individu yang terlibat secara langsung dengan kejadian-kejadian tersebut. Tanyalah pelajar-pelajar Malaysia yang kembali dari Mesir atas usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan waris-waris mereka:"APAKAH PERASAAN MEREKA TERHADAP USAHA YANG DILAKUKAN OLEH KERAJAAN?". Mereka-mereka ini bukanlah semuanya dari keluarga kaya yang boleh membayar harga tiket penerbangan. Dan jika dari keluarga berada sekalipun, keadaan huru hara pastinya menyukarkan mereka untuk keluar dari sana. Kita sendiri diberitahu oleh pelajar-pelajar di san, ada di antara mereka yang diacukan senjata api. Kita dengar pun dah takut, apalagi mereka yang menghadapinya.
Antara rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah
Mendengar jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar dan warisnya dalam temubual yang disiarkan di TV, mereka amat menghargai usaha kerajaan. Mungkin ada pihak yang mengatakan mungkin itu temubual terpilih. Entahlah, tapi aku rasa mana-mana pelajar yang terlibat seharusnya berterima kasih kepada semua yang terlibat.

Berbalik kepada konsep bersyukur dan berterima kasih, kita semestinya bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya semua berjalan lancar. Dengan izinNya juga diberkan ilham kepada semua yang terlibat untuk merancang Ops Piramid tersebut. Kita juga sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan dan pihak yang terlibat atas usaha-usaha mereka. Kita perlu tahu bahawa terdapat usaha kepimpinan negara sendiri untuk menghubungi Raja Arab Saudi untuk memberikan bantuan sepatutnya. 

Mensyukuri nikmat Allah adalah antara cara kita menjaga hubungan dengan Allah. Tetapi, kita juga diajar bahawa kita wajib menjaga hubungan kita sesama manusia. Jadi, adakah hubungan kita menjadi harmoni sesama kita seandainya kita bersikap ego dan tidak tahu menghargai usaha dan bantuan orang lain? Fikir-fikirkanlah...


Selasa, 1 Februari 2011

Hosni Mubarak: Lagi Helah Yahudi!!!

Berita melaporkan bahawa keadaan di Mesir makin hari makin meruncing akibat kebangkitan rakyat menentang rejim Hosni Mubarak yang telah memerintah selama 30 tahun. Selain atas nama Islam dan persaudaraan muslim, tempias dirasai rakyat Malaysia apabila memikirkan lebih kurang 20 ribu rakyat kita berada di sana yang mana separuh daripadanya adalah pelajar.

Bagi mereka yang mengekori perkembangan berita dunia pastinya mengingat bagaimana sikap kerajaan Mesir terhadap usaha menghantar bantuan kepada rakyat Palestin. Agak menghairankan, sebagai sebuah negara Islam tentunya mengejutkan apabila kerajaan Mesir menghalang usaha untuk bantuan kepada rakyat Palestin. Atas dasar satu aqidah pastinya tindakan ini tidak dapat diterima. Sudahlah tidak berani mengambil tindakan ketenteraan, bila ada pihak hendaj memberi bantuan, kerajaan Mesir enggan memberi kerjasama.

Mengapa?

Bendera Zionis Laknatullah!!!
Jawapannya diberikan sendiri oleh tindak tanduk mereka pada hari ini. Pimpinan rejim zionis telah menghantar isyarat mereka kepada Amerika Syarikat dan rakan sekutu mereka di Eropah supaya menghentikan sebarang kritikan terhadap Presiden Hosni Mubarak dan kerajaan pimpinannya. zionis menyatakan bahawa sokongan perlu diberikan kepada kerajaan Hosni Mubarak supaya keadaan di Mesir dapat dipulihkan.

Untuk merasionalkan sokongan mereka terhadap Presiden Hosni Mubarak, pimpinan-pimpinan zionis menyatakan bahawa memastikan pimpinan Hosni Mubarak kekal di Mesir amat perlu bagi memastikan ke stabilan di rantau tersebut dan memastikan bahawa tiada keganasan berlaku di sana.

Alasan tersebut sama sekali tidak dapat diterima. Selama ini, adakah tiada pergolakan dan keganasan berlaku kepada rakyat Palestin? Jawapannya tentu tidak!!! Bukan sahaja rakyat Palestin, tetapi sesiapa sahaja yang cuba memberi bantuan turut menerima padahnya. Dunia pasti tidak lupa mengenai kebiadapan zionis di syabra dan shatilla dan terbaru serangan mereka ke atas kapal Mavi Marmara.


 Sebaliknya, Israel menyedari bahawa jika kerajaan Hosni Mubarak tumbang, kesannya akan dirasai mereka. Apatah lagi jika pimpinan anti-Israel dan Amerika Syarikat menakluk tampuk pemerintahan negara tersebut. Oleh yang sedemikian, tidak hairanlah mereka akan cuba mendapatkan sokongan dunia ke atas kerajaan-kerajaan boneka yahudi walaupun rakyat negara tersebut sudah tidak mahu pemerintahan tersebut.

Hub Hiburan:membina atau meruntuhkan negara?

Hanyut dalam keasyikan muzik yang mengkhayalkan
Aku seorang muslim, maka semestinya aku berbangga hidup dalam sebuah negara Islam. Malahan, hati ini sentiasa berputik perasaan gembira apabila negara-negara luar memberi pengiktirafan kepada Malaysia sebagai negara Islam yang perlu dicontohi. Ini merujuk kepada kemajuan negara dari kestabilan politik, ekonomi pendidikan dan sebagainya.

TAPI, benarkah Malaysia adalah sebuah negara Islam dalam erti yang sebenar?

Dari perlaksanaan undang-undang Islam aku sendiri sukar untuk mengatakan samada Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam. Ilmu yang ada terlalu rendah untuk menghakimi samada perlaksanaan hukum Islam di Malaysia ini sudah mengcukupi untuk melabelkan Malaysia sebagai negara Islam, tatkala pimpinan kerajaan pada hari ini bukan sahaja tidak mampu melaksanakan hukum Islam yang sepatutnya malah untuk menyatakan kewajaran melaksanakannya sahaja mereka sudah tidak berani. Ini ditambah lagi apabila pihak yamh selama ini begitu berpendirian bahawa perlaksanaan hukum hudud adalah wajib kini tidak jelas dengan pendirian mereka. Jadi, aku rasa biarlah pihak yang bertanggungjawab memberi ulasan dan pandangan tentang isu tersebut.

Cumanya, tidak pernah sepanjang hidup aku ini mendengar bahawa atas dasar pembangunan ekonomi, maka diharuskan untuk kita membangunkan pusat-pusat hiburan untuk memajukan industri pelancongan negara. 

Mungkin isu yang aku timbulkan di sini sudah agak lewat. Sebenarnya sudah lama aku nak perkatakan isu ini termasuklaj isu judi bolasepak. Cuma, setelah membaca surat pembaca dalam majalaj solusi edisi januari, hati aku meruntun untuk luahkan apa yang aku rasa.

Rancangan Kerajaan di bawah Rancangan Transformasi Ekonomi adalah satu yang satu yang positif. Namun, kedangkalan pemimpin-pemimpin terutama dari kalangan mereka yang beragama Islam yang berpendapat bahawa pembukaan pusat-pusat hiburan dapat memberi kesan positif kepada industri pelancongan adalah sesuatu yang mengecewakan. Terlalu banyak keistimewaan dalam negara ini dalam bentuk tinggalan sejarah, gunung-ganang, hutan simpan dan pulau-pulau yang pastinya dapat menarik kedatangan pelancong-pelancong ke negara ini. Jika kerajaan dan pihak berwajib dalam mempromosikan perkara-perkara tersebut, maka ianya akan memberi pendapatan lumayan kepada negara di samping membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Hasil keruntuhan akhlak dan masalah sosial
Selain itu, aku juga tidak faham bagaimana pemimpin-pemimpin ini tidak dapat melihat apa kesan negatif kepada rakyat yang menyumbang kepada masalah sosial yang semakin meruncing. Tidak guna mengadakan operasi untuk menghapuskan jenayah seperti dadah, rogol dan sebagainya jika pada masa yang sama kita menyediakan tempat atau kemudahan untuk membuka jalan kepada perkara-perkara tersebut.Di pusat-pusat hiburan ini, pergaulan yang melampau, minum arak dan pengambilan dadah sama sekali akan berlaku. Hasilnya, anak-anak muda malahan tua bangka akan terlibat dengan perkara-perkara tidak baik seperti seks rambang. Hasilnya adalah AIDS, pembuangan anak dan lain-lain. Kerajaan harus sedar bahawa sebagai pemimpin sebuah negara mereka telah diberikan amanah untuk bukan sahaja memastikan kemajuan material dimiliki oleh rakyat tetapi kemajuan dan pembangunan spiritual. Tapi, apa nak dikatakan jika bila berkempen pilhanraya, yang dimomokkan kepada rakyat hanyalah keuntungan dan faedah materialistik. 

Berdasarkan apa yang cuba dicapai oleh kerajaan melalui Rancangan Transformasi Ekonomi ini, adakah negara ini sebuah negara Islam? Dan jika kita sedar, rancangan menjadikan negara ini sebagai hub hiburan secara lahiriah atau batiniah sama sekali tidak membangunkan negara tetapi meruntuhkan negara.