Ahad, 24 Julai 2011

BERSIH-kan persepsi peminat Harimau Malaya!!!

Mungkin ramai yang hilang keyakinan melihat Harimau Malaya dibaham singa di Kota Singa? Mungkin ada yang mula menghentam skuad negara? Dan pastinya menyuarakan pendapat bahawa "skrip lama akan berulang kembali?"

Aku dulu pun begitu.Sentiasa membuat rumusan bahawa kebangkitan bolasepak negara adalah "hangat-hangat tahi ayam" saja. Dan, kita akan kembali ke takuk lama.Dan selalu menyatakan:"Berubahlah pemain-pemain Malaysia". Tapi, setelah kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA dan kemudiannya menjuarai Piala Suzuki, aku rasa tibalah masanya kita sebagai peminat-peminat pasukan negara untuk merubah sikap kita pula. Ya, aku mengakui aku ini bukanlah peminat yang akan hadir ke stadium, tetapi aku rasa aku masih lagi sentiasa mengharapkan kecemerlangan kepada pasukan negara.

Pasukan negara pada hari ini jika sekiranya gagal mencapai sasaran layak ke peringkat seterusnya, tetap adalah pasukan yang terbaik yang kita punyai dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Malahan, ini adalah pasukan terbaik yang pernah ada sepanjang aku meminati bolasepak. Ya, selama ini aku berbangga bahawa kita pernah mempunyai pasukan negara yang hebat di zaman Mokhtar Dahari & Co., tapi aku sebenarnya terkilan sebab tidak melalui zaman itu secara langsung.

Adakah jika mereka gagal di Kelayakan Piala Dunia
maka kita melupakan kejayaan  mereka pada Piala Suzuki yang lalu?
Tapi, mengimbau detik-detik Harimau Malaya menjuarai Sukan Sea dan Piala Suzuki adalah lebih dirasakan berbanding melihat pasukan Eropah kesukaan aku menjulang Piala Liga Juara-Juara pada tahun 2009.

Dan melihat jaringan-jaringan bertaraf dunia oleh Safee Sali, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan, maka aku berfikir,"Bukankah kita mempunyai pemain-pemain berbakat yang mampu menyaingi pasukan lain?". Malahan kebanggaan rakyat Malaysia terhadap 3 jaringan pemain tempatan ketika menentang Singapur adalah lebih tinggi nilai dalam diri kita berbanding apa yang dirasai oleh rakyat Singapura yang dijaringkan "pemain Import". Namun begitu, aku tidak rasa rakyat Singapura memikirkannya kerana bagi aku dari dulu Singapura sudah lama menjadi satu negara yang tidak mempunyai identiti sendiri.

Aku meyakini dengan skuad Harimau Malaya. Aku merasakan pasukan negara akan melayakkan diri ke pusingan seterusnya di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ini bukan angan-angan kosong. Aku percaya pemain-pemain akan melakukan yang terbaik. Malahan 3 jaringan di tempat lawan adalah senjata paling bernilai yang kita ada.

Jika gagal sekalipun, janganlah kita kembali kepada sikap lama kita dan tidak menyokong pasukan negara dan menghentam sahaja. Berubahlah peminat Harimau Malaya. Berpuluh-puluh tahun kita terus menyokong pasukan negara asing yang kita minat untuk menjuarai Piala Dunia atau Piala Eropah walaupun pasukan seperti England, Argentina dan lain-lain yang mempunyai pemain-pemain hebat, gagal melakukannya berulang-ulang kali.Tapi, mengapa kita masih menyokong pasukan tersebut selepas 4 tahun berlalu?Sudah berapa lama Argentina tidak menjuarai  Piala Dunian atau Copa Amerika? Sudah berapa kali England tersungkur dengan aksi hambar di pentas terbesar bolasepak? Berapa tahun berlalu barulah Sepanyol menjuarai Piala Eropah dan Piala Dunia. Selama itu jugalah kita terus menyokong pasukan-pasukan tersebut. Sikap yang sama patut ditujukan kepada pasukan negara, malah lebih-lebih lagi!!!

Untuk Harimau Malaya:"Jangan mengalah dan terus berjuang!!!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan