Jumaat, 29 Julai 2011

Mudahnya menjadi pengkritik...

Berita kegagalan Harimau Malaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya jelas menjadi berita utama kebanyakkan akhbar-akhbar utama di negara ini. Jelas ianya bukanlah tajuk utama yang diinginkan oleh rakyat pada hari ini. Jelas kita kecewa dan sedih dengan keputusan semalam. Dan kesesakan lalu lintas di hampir kebanyakkan tempat di Lembah Klang sememangnya suatu yang diharapkan oleh penyokong pasukan Malaysia.

Ulasan-ulasan bukan sahaja dibuat di akhbar-akhbar. Bukalah facebook dan kita akan membaca ulasan-ulasan, kritikan-kritikan malahan cercaan ditujukan kepada jurulatih dan pemain-pemain. Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, anda mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendapat anda tentang semua perkara. Dan, kita semua sememangnya pakar dalam mengkritik. Sudah menjadi lumrah.

Aku bukan hanya bercakap tentang perlawanan semalam. Tapi aku bercakap tentang apa yang sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian. Aku bukan juga hanya merujuk dengan isu-isu politik. Aku bercakap tentang segalanya.

Kita tidak berada di tempat orang yang kita kritik dan berkata:-

"Tu la...sepatutnya strategi macam ni...bukan macam tu"

"Sepatutnya dia mentadbir macam ni bukan macam tu"

"Nama je ketua pelajar. Tapi apa pun tak buat untuk kebaikan pelajar lain. Membodek je"

Tapi, mudah berkata tapi sukar bila kita pula berada di tempat orang yang dikritik. Kadang-kadang kita mengkritik tanpa mengambil kira situasi yang dihadapi oleh mereka yang dikritik.

Aku tidak menyatakan salah untuk mengkritik orang lain. Tetapi, berpada-padalah. Mungkin suatu hari kita di tempat mereka dan kita gagal membuat apa yang kita kritik. Malahan, bila kita di tempat mereka pelbagai alasan kita berikan.

Khamis, 28 Julai 2011

Berusahalah Harimau Malaya (dan penyokong pasukan negara)!!!

"So this is Malaysian football, 
no wonder i havent been supporting them since the late 90's...
call me unpatriotic if u want, i'd rather watch EPL...
cant wait for the new season to kick off, GGMU hehehe ;P"


Inilah status wall facebook salah seorang kawan aku setelah pasukan bolasepak Malaysia i.e. Harimau Malaya disingkirkan oleh Singapura di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia. Panas juga hati aku membaca status wall ni. Malahan, beberapa rakan turut melahirkan rasa tidak berpuas hati. Aku turut memberi ulasan di wall tersebut dengan menyatakan bahawa tatkala kita memenangi Sukan SEA dan Piala Suzuki, ramai yang mengaku menjadi peminat fanatik tapi tidak bila kita mengalami kegagalan. Tapi, kawan aku ini menyatakan bahawa dia memang tidak pernah menyokong pasukan negara samada ketika menjuarai sesuatu kejohanan apatah lagi bila mengalami kekalahan. Jadi aku rasa tiada apa lagi untuk aku katakan memandangkan sememangnya keghairahan dia kepada Manchester United (aku pun minat pasukan ini juga) melebihi pasukan negara malahan tiada langsung.

Dalam entry aku sebelum bermula perlawanan malam tadi, aku telah menyatakan apa pandangan aku sekiranya kita mengalami kegagalan iaitu terus menyokong Harimau Malaya!!! Tapi, sebagaimana yang dijangkakan, akan terdengarlah suara-suara sumbang di facebook melekehkan pasukan negara.

Khairul Fahmi...pemain terbaik negara!!!


Benar!Persembahan Harimau Malaya hari ini adalah di bawah tahap sebenar kecuali Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang dan layak digelar pemain terbaik Malaysia malam ini. Benar!Lakonan pemain-pemain Singapura amat cemerlang untuk memenangi Oscar!Malaysia memang tidak layak untuk menang!!! Ketiadaan Safiq Rahim jelas memberi kesan besar kepada pasukan negara untuk merencanakan permainan yang lebih tenang dan teratur.

Ketiadaan Safiq Rahim melumpuhkan perencanaan Harimau Malaya

Tapi, kekalahan Malaysia bukanlah disebabkan kehebatan Singapura. Kita tewas kerana kesilapan mudah yang kita lakukan. Kita tewas kerana tahap disiplin yang rendah terutama sekali di bahagian pertahanan. Barisan pertahanan adalah barisan yang sama beraksi cemerlang dan berdisiplin ketika Piala Suzuki yang lalu.
Muslim gagal mengulangi aksi cermerlang
bersama Fadhli Shas di Piala Suzuki
Aku percaya perkara ini perlu diberi perhatian selain perkara taktikal. Berkenaan taktikal, mungkin kita boleh menyatakan bahawa Datuk K. Rajagopal telah melakukan percaturan yang salah. Aku berpendapat begitu tetapi kita tidak boleh mengecam beliau. Tugas ketua jurulatih pasukan bolasepak bukan mudah. Beliau perlu membuat keputusan yang mana beliau rasakan terbaik untuk pasukan negara. Kita juga perlu ingat bahawa beliau telah kehilangan beberapa tonggak utama seperti Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami kecederaan. Untuk menjadi seorang jurulatih yang hebat, beliau perlu berani membuat keputusan sendiri yang beliau anggap terbaik. Bukannya membuat keputusan kerana takut dengan penilaian orang lain. Lihatlah pengurus-pengurus hebat seperti Sir Alex Ferguson atau Jose Mourinho. Mereka berani membuat keputusan yang kadang-kadang tidak dapat diterima penyokong pasukan mereka. Malahan ada keputusan mereka yang menyebabkan pasukan mereka tewas dan teruk dikecam media dan pengulas sukan. Tetapi mereka belajar dan lihatlah siapa mereka kini!!!
Percaturan tidak menjadi...

Aku berharap kegagalan kali ini menjadi pengajaran berguna kepada pemain-pemain Malaysia samada yang kini di dalam pasukan atau yang akan datang. Teruskan berusaha, belajar dan berlatih. InsyaAllah, kita akan mencapai kejayaan.
Tahniah kepada "pemain ke-12"

Kepada peminat-peminat bolasepak tempatan, janganlah kegagalan hari ini menyebabkan kita sekali lagi membelakangkan pasukan negara. Ini akan menyebabkan pemain-pemain hilang keyakinan untuk beraksi dengan pasukan negara. Ingatkah lagi isu pemain-pemain tempatan yang membelakang pasukan negara untuk beraksi dengan pasukan negeri. Mungkin isu bayaran menjadi punca tetapi kehilangan penyokong juga turut menghilangkan keghairahan untuk menyarung jersi kebangsaan. Semoga kehadiran 85,000 orang penyokong pada malam ini akan berulang lagi pada aksi pasukan negara di masa hadapan.

BERJUANGLAH HARIMAU MALAYA!!!



Ahad, 24 Julai 2011

BERSIH-kan persepsi peminat Harimau Malaya!!!

Mungkin ramai yang hilang keyakinan melihat Harimau Malaya dibaham singa di Kota Singa? Mungkin ada yang mula menghentam skuad negara? Dan pastinya menyuarakan pendapat bahawa "skrip lama akan berulang kembali?"

Aku dulu pun begitu.Sentiasa membuat rumusan bahawa kebangkitan bolasepak negara adalah "hangat-hangat tahi ayam" saja. Dan, kita akan kembali ke takuk lama.Dan selalu menyatakan:"Berubahlah pemain-pemain Malaysia". Tapi, setelah kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA dan kemudiannya menjuarai Piala Suzuki, aku rasa tibalah masanya kita sebagai peminat-peminat pasukan negara untuk merubah sikap kita pula. Ya, aku mengakui aku ini bukanlah peminat yang akan hadir ke stadium, tetapi aku rasa aku masih lagi sentiasa mengharapkan kecemerlangan kepada pasukan negara.

Pasukan negara pada hari ini jika sekiranya gagal mencapai sasaran layak ke peringkat seterusnya, tetap adalah pasukan yang terbaik yang kita punyai dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Malahan, ini adalah pasukan terbaik yang pernah ada sepanjang aku meminati bolasepak. Ya, selama ini aku berbangga bahawa kita pernah mempunyai pasukan negara yang hebat di zaman Mokhtar Dahari & Co., tapi aku sebenarnya terkilan sebab tidak melalui zaman itu secara langsung.

Adakah jika mereka gagal di Kelayakan Piala Dunia
maka kita melupakan kejayaan  mereka pada Piala Suzuki yang lalu?
Tapi, mengimbau detik-detik Harimau Malaya menjuarai Sukan Sea dan Piala Suzuki adalah lebih dirasakan berbanding melihat pasukan Eropah kesukaan aku menjulang Piala Liga Juara-Juara pada tahun 2009.

Dan melihat jaringan-jaringan bertaraf dunia oleh Safee Sali, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan, maka aku berfikir,"Bukankah kita mempunyai pemain-pemain berbakat yang mampu menyaingi pasukan lain?". Malahan kebanggaan rakyat Malaysia terhadap 3 jaringan pemain tempatan ketika menentang Singapur adalah lebih tinggi nilai dalam diri kita berbanding apa yang dirasai oleh rakyat Singapura yang dijaringkan "pemain Import". Namun begitu, aku tidak rasa rakyat Singapura memikirkannya kerana bagi aku dari dulu Singapura sudah lama menjadi satu negara yang tidak mempunyai identiti sendiri.

Aku meyakini dengan skuad Harimau Malaya. Aku merasakan pasukan negara akan melayakkan diri ke pusingan seterusnya di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ini bukan angan-angan kosong. Aku percaya pemain-pemain akan melakukan yang terbaik. Malahan 3 jaringan di tempat lawan adalah senjata paling bernilai yang kita ada.

Jika gagal sekalipun, janganlah kita kembali kepada sikap lama kita dan tidak menyokong pasukan negara dan menghentam sahaja. Berubahlah peminat Harimau Malaya. Berpuluh-puluh tahun kita terus menyokong pasukan negara asing yang kita minat untuk menjuarai Piala Dunia atau Piala Eropah walaupun pasukan seperti England, Argentina dan lain-lain yang mempunyai pemain-pemain hebat, gagal melakukannya berulang-ulang kali.Tapi, mengapa kita masih menyokong pasukan tersebut selepas 4 tahun berlalu?Sudah berapa lama Argentina tidak menjuarai  Piala Dunian atau Copa Amerika? Sudah berapa kali England tersungkur dengan aksi hambar di pentas terbesar bolasepak? Berapa tahun berlalu barulah Sepanyol menjuarai Piala Eropah dan Piala Dunia. Selama itu jugalah kita terus menyokong pasukan-pasukan tersebut. Sikap yang sama patut ditujukan kepada pasukan negara, malah lebih-lebih lagi!!!

Untuk Harimau Malaya:"Jangan mengalah dan terus berjuang!!!"