Minggu lepas aku sempat mendengar slot warna pagi di Ikim yang membincangkan topik perpaduan umat Islam di Malaysia. Topik ini dibincangkan selepas melihat perpaduan dan kesepakatan yang dilakukan oleh pihak Hamas dan Fatah di Palestin. Jadi, pengantara rancangan telah mengutarakan persoalan berikut, "Hamas dan Fatah telah bersatu, umat Islam di Malaysia bila lagi?"
Maka adalah seorang pemanggil dari Terengganu yang menyatakan bahawa tiada perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia. Aku tertanya mengapa dia berkata begitu. Katanya," Umat Islam tu siapa dia?...mereka itu adalah pengikut PAS". Terkesima aku dengan kenyataan tersebut. Maksudnya, umat Islam hanya dirujuk kepada mereka yang menyertai dan menyokong PAS sahaja.
Bagaimana pula dengan mereka yang menyokong UMNO?Bagaimana pula yang tidak menyokong mana-mana parti politk tetapi akan menjalankan tanggungjawab bila tiba pilihanraya setelah memikirkan yang mana lebih layak memerintah? Kalau mengikut apa yang ditaksirkan oleh pemanggil tersebut, maka mereka yang selain dari pengikut dan penyokong PAS bukanlah seorang penganut agama Islam!!!
Dan aku mendapati pandangan itu adalah melampaui batas.Jika fahaman sedemikian rupa diterima, maka kita akan menghadapi satu masalah besar dalam hal muamalat, sembelihan dan perkahwinan serta lain-lain. Malahan yang begitu aku kesali, pendapat sebegini dikeluarkan sesuka hati tanpa mengambil kira pendapat ulamak dan ahli ilmuwan agama di dalam negara ini.
Mengapa hal ini berlaku? Dalam pandangan aku yang mana mungkin benar atau salah, puncanya adalah bila pemimpin-pemimpin politik taksub pada ideologi politik telah merendah-rendahkan kredibiliti para ulamak-ulamak. Aku tidak merujuk kenyataan ini kepada mana-mana parti politik Islam/Melayu kerana aku kedua-dua pihak sama ada melakukan perkara tersebut. Menjadi satu tabiat parti-parti politik di negara ini akan mengambil pakai pendapat mana-mana mufti atau ulamak di dalam isu-isu yang menyokong hujah politik masing-masing. Namun begitu, tatkala muti atau ulamak yang sama memberikan pendapat yang tidak menyebelahi ideologi politik mereka, maka mereka akan membidas mufti atau ulamak tersebut.
Aku bersetuju bahawa mereka mempunyai hak untuk berbeza pendapat namun Islam telah mengajar umatnya bagaimana untuk meraikan perbezaan pendapat sesama penganut agama suci ini. Dan sepanjang aku membaca apa-apa artikel dan kenyataan yang ditulis/dibuat oleh ulamak-ulamak ini adalah berlandaskan dalil-dalil dan rujukan-rujukan kitab-kitab muktabar. Ianya bukan dibuat secara seberono.Jika terdapat perbezaan pendapat, maka ianya hendaklah dirai dengan beradab dan memberi jawapan dengan dalil-dalil yang mereka ada. Apa yang aku rasa penting, hendaklah pemimpin-pemimpin politik ini mengajar pengikut-pengikut mereka tentang adab-adab terhadap ulamak. Ini tidak, kita dapat lihat ada pengikut-pengikut mereka yang menghina ulamak-ulamak ini dengan kata-kata cerca dan tuduhan tidak berasas. Aku tidak hairan kerana terdapat pemimpin-pemimpin politik ini telah mengajarkan pengikut-pengikut mereka untuk merujuk ulamak yang tidak mereka setujui pendapat mereka sebagai bukan ulamak sebenar. Persoalannya, apakah kayu pengukur "ulamak sebenar" bagi mereka?Adakah hanya bila ulamak tersebut bersetuju dengan pendapat mereka, maka beliau akan dikalsifikasikan sebagai "ulamak sebenar"?Fikir-fikirkanlah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan