Sabtu, 14 Mei 2011

Bukankah kita telah diingatkan...

Pada 7 Mei, 2011 telah disiarkan berita yang boleh menggoyangkan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang agama di Malaysia apabila Utusan Malaysia melaporkan tentang usaha pemimpin agama Kristian untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia dan melantik Perdana Menteri dari kalangan penganut Kristian. Laporan ini adalah berdasarkan dakwaan yang telah dibuat oleh dua buah blog iaitu Marahku.blogspot.comdan bigdogdotcom.wordpress.com. Ianya mendapat reaksi pelbagai pihak dari kalangan kerajaan dan juga pembangkang. Bagi pihak pembangkang, ianya dianggap satu agenda politik kerajaan dan Akhbar Utusan Malaysia yang cuba mengaitkan DAP dalam isu tersebut.

Serius aku begitu tersentap dengan laporan akhbar tersebut. Daya sensitiviti dalam diri membuakkan rasa marah. Namun begitu, setelah berfikir panjang, aku berpendapat bahawa laporan tersebut adalah satu laporan tidak beretika. Ya benar jika sekiranya terdapat usaha yang boleh mencabar kedudukan agama Islam di negara ini, maka ianya perlu disebarkan kepada umat Islam. Namun begitu, penyebaran dakwaan tersebut hendaklah dibuat atas alasan yang jelas dan bukan hanya berdasarkan laporan-laporan dari blog-blog atau sumber lain yang belum disahkan kebenarannya. Selain ianya berkaitan sensitiviti masyarakat berbilang agama di negara ini, ianya akan memberikan gambaran bahawa negara ini yang dipimpin orang Islam seolah-olah menindas penganut agama lain.

Namun begitu, sebagai orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, kita sepatutnya mengetahui mengenai hakikat bahawa Islam ini tidak pernah dibenarkan oleh puak-puak Yahudi dan Nasrani. Peringatan ini telah diberikan kepada kita beribu-ribu tahun dahulu sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Allah S.W.T ke atas Rasulullah S.A.W:-

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu
(wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).
Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar".
Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu

Dan sedarlah kita bahawa selama ini kita telah sedikit demi sedikit mengikuti jalan dan cara hidup hedonisma yang mana satu jalan yang ditunjukkan oleh puak Yahudi dan Nasrani. Lihatlah bagaimana ada dari umat Islam ini begitu menjadikan artis-artis sebagai idola. Lihatlah bagaimana kita dihidangkan dengan pelbagai rancangan hiburan yang tidak  mendidik jiwa. Lihatlah bagaimana pimpinan negara menggunakan alasan ekonomi untuk menjadikan negara ini sebagai satu hub hiburan di rantau ini. Lihatlah bagaimana pemimpin-pemimpin beragama Islam dan Melayu boleh menyokong idea pemberian lesen judi bolasepak ketika musim Piala Dunia atas alasan mencegah penglibatan rakyat dalam judi haram (sedangkan judi tidak akan jadi halal kerana ada lesen) dan sebagai cara menambah pendapatan negara. Dan jangan dilupa, lihatlah bagaimana terdapat dari kalangan umat Islam yang menanam benih kebencian sesama Islam untuk mencapai matlamat tertentu. 

Semoga kita sedar bahawa puak-puak Yahudi dan Nasrani ini menunggu masa untuk menghina umat Islam. Malahan, jangan terkejut jika suatu hari nanti, mungkin kita sendiri yang membenarkan ianya terjadi. Allah telah memberi peringatan kepada kita tetapi KITA MUDAH LUPA!!!

Ahad, 8 Mei 2011

Berbeza pendapat:Raikanlah ulamak kita...

Minggu lepas aku sempat mendengar slot warna pagi di Ikim yang membincangkan topik perpaduan umat Islam di Malaysia. Topik ini dibincangkan selepas melihat perpaduan dan kesepakatan yang dilakukan oleh pihak Hamas dan Fatah di Palestin. Jadi, pengantara rancangan telah mengutarakan persoalan berikut, "Hamas dan Fatah telah bersatu, umat Islam di Malaysia bila lagi?"

Maka adalah seorang pemanggil dari Terengganu yang menyatakan bahawa tiada perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia. Aku tertanya mengapa dia berkata begitu. Katanya," Umat Islam tu siapa dia?...mereka itu adalah pengikut PAS". Terkesima aku dengan kenyataan tersebut. Maksudnya, umat Islam hanya dirujuk kepada mereka yang menyertai dan menyokong PAS sahaja. 

Bagaimana pula dengan mereka yang menyokong UMNO?Bagaimana pula yang tidak menyokong mana-mana parti politk tetapi akan menjalankan tanggungjawab bila tiba pilihanraya setelah memikirkan yang mana lebih layak memerintah? Kalau mengikut apa yang ditaksirkan oleh pemanggil tersebut, maka mereka yang selain dari pengikut dan penyokong PAS bukanlah seorang penganut agama Islam!!! 

Dan aku mendapati pandangan itu adalah melampaui batas.Jika fahaman sedemikian rupa diterima, maka kita akan menghadapi satu masalah besar dalam hal muamalat, sembelihan dan perkahwinan serta lain-lain. Malahan yang begitu aku kesali, pendapat sebegini dikeluarkan sesuka hati tanpa mengambil kira pendapat ulamak dan ahli ilmuwan agama di dalam negara ini.

Mengapa hal ini berlaku? Dalam pandangan aku yang mana mungkin benar atau salah, puncanya adalah bila pemimpin-pemimpin politik  taksub pada ideologi politik telah merendah-rendahkan kredibiliti para ulamak-ulamak. Aku tidak merujuk kenyataan ini kepada mana-mana parti politik Islam/Melayu kerana aku kedua-dua pihak sama ada melakukan perkara tersebut. Menjadi satu tabiat parti-parti politik di negara ini akan mengambil pakai pendapat mana-mana mufti atau ulamak di dalam isu-isu yang menyokong hujah politik masing-masing. Namun begitu, tatkala muti atau ulamak yang sama memberikan pendapat yang tidak menyebelahi ideologi politik mereka, maka mereka akan membidas mufti atau ulamak tersebut.

Aku bersetuju bahawa mereka mempunyai hak untuk berbeza pendapat namun Islam telah mengajar umatnya bagaimana untuk meraikan perbezaan pendapat sesama penganut agama suci ini. Dan sepanjang aku membaca apa-apa artikel dan kenyataan yang ditulis/dibuat oleh ulamak-ulamak ini adalah berlandaskan dalil-dalil dan rujukan-rujukan kitab-kitab muktabar. Ianya bukan dibuat secara seberono.Jika terdapat perbezaan pendapat, maka ianya hendaklah dirai dengan beradab dan memberi jawapan dengan dalil-dalil yang mereka ada. Apa yang aku rasa penting, hendaklah pemimpin-pemimpin politik ini mengajar pengikut-pengikut mereka tentang adab-adab terhadap ulamak. Ini tidak, kita dapat lihat ada pengikut-pengikut mereka yang menghina ulamak-ulamak ini dengan kata-kata cerca dan tuduhan tidak berasas. Aku tidak hairan kerana terdapat pemimpin-pemimpin politik ini telah mengajarkan pengikut-pengikut mereka untuk merujuk ulamak yang tidak mereka setujui pendapat mereka sebagai bukan ulamak sebenar. Persoalannya, apakah kayu pengukur "ulamak sebenar" bagi mereka?Adakah hanya bila ulamak tersebut bersetuju dengan pendapat mereka, maka beliau akan dikalsifikasikan sebagai "ulamak sebenar"?Fikir-fikirkanlah...

Rabu, 4 Mei 2011

Osama Bin Laden...dalam kenangan

Berita kematian Osama Bin Laden disambut meriah rakyat Amerika Syarikat. Setelah hampir 10 tahun sejak kejadian 11 September, 2001, akhirnya Osama berjaya dibunuh oleh unit komander Amerika Syarikat di sebuah daerah di Pakistan yang merupakan kawasan tentera Pakistan. Presiden Barack Obama dengan bangganya mengumumkan berita tersebut kepada rakyat Amerika Syarikat khususnya dan dunia umumnya.klik di sini. Obama tanpa ragu-ragu telah mengaitkan Osama Bin Laden dengan tragedi 11 September walaupun sehingga hari ini masih belum ada bukti jelas penglibatan Osama dengan peristiwa tersebut. Membaca kenyataan Obama, aku terfikir, "Sudah dasar kafir laknatullah, fakta depan mata pun ingin berbohong lagi". Ini berikutan kenyataan Obama bahawa Amerika Syarikat tidak pernah memusuhi Islam dan mereka tidak memilih peperangan yang berlaku kerana serangan telah dilakukan ke atas tanah air mereka. POOODAHHHH!!!

Teori Propaganda

Terbuktikah penglibatan orang Islam dalam
tragedi 11 September, 2011?
Pada pagi tersebarnya berita kematian Osama, Radio Ikim melalui slot warna telah membincangkan tentang berita tersebut bersama-sama pendengar-pendengar radio tersebut. Dalam perbincangan tersebut, ada pemanggil-pemanggil yang menyatakan suatu teori propaganda yang mengaitkan hubungan Amerika Syarikat dengan Osama Bin Laden. Menurut teori propaganda tersebut, karakter Osama Bin Laden tersebut adalah ciptaan Amerika Syarikat sendiri. Ianya dicipta bertujuan untuk memberikan gambaran negatif terhadap Islam yang dilabel sebagai agama pengganas. Inilah yang berlaku selepas tragedi 11 September, 2011.

Apabila Islam dikaitkan dengan keganasan, maka negara-negara Islam seperti Iraq, Afghanistan dan lain-lain telah dijadikan sasaran dalam kempen memerangi keganasan. Di sebalik kempen tersebut, terdapat niat jahat untuk menguasai kekayaan negara Islam di samping sebagai menutup kejahatan rakan sekutu utama Amerika Syarikat iaitu Rejim Yahudi Zionis yang lebih ganas mencabuli dan menindas orang Islam di Palestin. Jika niat sebenar Amerika Syarikat dan sekutunya ingin memerangi keganasan, maka ramailah pemimpin-pemimpin Zionis yang sudah dibawa ke muka pengadilan dan dihukum bunuh sebagaimana yang berlaku ke atas Allahyarham Saddam Hussin, bekas Presiden Iraq. Malah, Amerika Syarikat itu adalah lebih biadap dan sebenarnya adalah pengganas yang telah membunuh orang awam di Afghanistan tetapi tindakan mereka telah dihalalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas alasan "kesilapan teknikal" yang diberikan Amerika Syarikat. 

Berbalik kepada teori propaganda, dikatakan bahawa isu kematian Osama digembar-gemburkan adalah bertujuan untuk melihat maklum balas umat Islam sebelum langkah-langkah seterusnya diambil untuk menghapuskan umat Islam. Malah, ianya juga dilihat sebagai satu amaran kepada umat Islam bahawa inilah akibatnya jika menentang Amerika Syarikat dan Zionis.

Benar atau tidak propaganda tersebut, aku tidak pasti. Tapi, logiknya ada kan?

Presiden Amerika Syarikat: Hitam atau Putih, Sama Saja

Masih lagi aku teringat ketika Barack Obama diumumkan sebagai Presiden Amerika Syarikat berkulit hitam yang pertama. Begitu teruja manusia di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia sehingga ada yang sengaja balik awal ke rumah bagi menyaksikan upacara angkat sumpah Barack Obama sebagai presiden. Ketika itu, Barack Obama akan mengubah polisi Rumah Putih terhadap dunia Islam.

Ketika itu aku hanya menggeleng kepala kerana aku sememangnya tidak percaya dengan perubahan yang diharapkan. Aku masih ingat ketika Bill Clinton menggantikan George Bush Senior, ramai orang Islam termasuk di Iraq bersorak. Tetapi, apa yang berlaku selepas itu jelas tidak berubah ketika di bawah pimpinan Bush. Walaupun terdapat ucapan-ucapan Obama yang menunjukkan beliau berusaha ke arah kedamaian antara dunia Islam dan barat tetapi pada yang sama beliau tidak berbuat apa-apa terhadap rakan sekutunya, Zionis yang menindas umat Islam di Palestin.

Dan kini, segalanya terang lagi bersuluh apakah polisi Barack Obama sebenarnya. Malahan kematian Osama akan memberikan kesan positif untuk beliau mempertahankan kedudukan di Rumah Putih menjelang pilihanraya Amerika Syarikat yang akan tiba mungkin tahun depan.

Yang pasti siapapun pemimpin utama Amerika Syarikat, dia pasti tidak akan membela umat Islam kerana di belakang kempen pilihanraya terdapat yahudi yang menjadi pelobi. Sudah pasti si yahudi tidak mengeluarkan wang menyokong seorang bakal presiden yang akan menyelamatkan umat Islam. Logik!

Tidak dapat kamu ketika hidup, maka mati mu tetap akan dihina!!!

Jelas sekali Amerika Syarikat begitu benci dengan Osama Bin Laden kerana hampir 10 tahun mereka dimalukan. Sudah pasti sesuatu yang memalukan apabila tentera Amerika Syarikat yang mempunyai kelengkapan dan peralatan canggih gagal untuk mengesan tempat persembunyian Osama apalagi menangkap atau membunuh beliau. Sebelum ini mereka juga telah dimalukan oleh Allahyarham Saddam Hussin dengan cara yang serupa apabila gagal mengkap beliau yang bersembunyi di bawah tanah. Penangkapan beliau hanya berlaku setelah diberitahu oleh orang terdekat dengan bekas pemimpin tersebut.

Maka setelah berjaya membunuh pemimpin al-Qaeda tersebut, mayatnya tidak disemadikan dengan cara yang betul mengikut tuntutan agama Islam iaitu disemadikan di dalam tanah dan menghadap kiblat. Sebaliknya mayatnya telah disemadikan di dalam laut dengan alasan bahawa tiada negara yang ingin menerima jenazah beliau untuk disemadikan di sana. Inilah jelas suatu alasan yang tidak dapat diterima sama sekali!!!

Aku melihat tindakan Amerika Syarikat ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk menghina jenazah Allahyarham dan pada masa yang sama menghina Islam.

Aku juga begitu kecewa dengan dakwaan (jika benar) bahawa kerajaan Arab Saudi dan Pakistan telah menolak untuk menerima jenazah Allahyarham dikebumikan di sana. Ini jelaslah suatu kejahilan agama kerana Islam telah mengajar umatnya untuk menghormati jenazah atau mayat orang yang telah meninggal dunia tanpa kira mengira agama dan cara hidupnya. Apatah lagi dalam kes ini melibatkan jenazah seorang muslim!!!

Dunia aman selepas kematian Osama?

Pelbagai reaksi diberikan oleh pemimpin-pemimpin dunia mengenai keadaan yang mungkin berlaku pasca kematian Osama. Seolah-olah mengakui kenyataan Obama bahawa kematian Osama dialu-dialukan oleh mereka yang percaya kepada keamanan, terdapat pemimpin-pemimpin negara meyakini bahawa kematian Osama akan memberikan satu dunia yang aman klik di sini. Meminjam kata-kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, kenyataan tersebut adalah tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika Syarikat klik di sini. 


Bagaimana keamanan ingin tercapai jika punca sebenar kepada keganasan tidak dihapuskan? Adakah mereka yang membuat kenyataan bahawa dunia akan aman setelah kematian Osama lupa atau buat-buat lupa punca kepada penentangan ke atas Amerika Syarikat dan sekutunya adalah akibat penindasan yang mereka lakukan ke atas umat Islam. Dan penindasan tersebut berlaku lama sebelum wujudnya al-Qaeda dan Osama. Dan bagaimana keamanan akan wujud jika rejim zionis dengan sokongan Amerika Syarikat tanpa segan silu menceroboh tanah umat Islam Palestin dan membunuh mereka?

Dan sebagai seorang yang beriman dengan firman Allah, seorang muslim pasti tahu bahawa selamanya tidak akan redha Yahudi dan Nasrani ke atas kita, umat Islam selagi mana kita tidak mengikut cara dan telunjuk mereka:

A120
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu


Ayuh bersatu saudaraku!!!

Hakikat yang sebenarnya telah lama diakui oleh kebanyakkan umat Islam ialah gagalnya umat Islam bersatu dalam menghadapi ancaman Amerika Syarikat dan rejim Zionis. Lihatlah bagaimana rejim Zionis mampu mengambil tanah umat Islam sedikit demi sedikit sedangkan mereka dikelilingi oleh negara-negara Islam. Malahan perpecahan di antara rakyat Palestin sendiri dipergunakan Zionis untuk memperkotak-katikan mereka. Perpecahan ini berlaku kerana kita memilih untuk melihat satu perbezaan antara kita dan mengenepikan seribu persamaan yang dimiliki.

Dan jelas sekali bila bersatunya umat Islam, maka puak Yahudi ini akan marah sebagaimana berlaku apabila Fatah dan Hamas sanggup melupakan pendirian masing-masing demi Islam dan bersatu klik di sini. Malahan pemimpin Yahudi, Benjamin Netanyahu telah memberi kata dua samada pemimpin Fatah memilih pendamaian dengan Hamas atau dengan rejim Zionis. Sudah pasti sebagai umat Islam yang menghayati dan beriman dengan kitab al-Quran, pasti menyedari tipu helah golongan Yahudi sejak dari zaman Rasul-rasul dan nabi-nabi terdahulu. Pastinya mereka tidak akan berdiam diri dan akan bersama Amerika Syarikat akan mengganggu perpaduan umat Islam. Jika umat Islam seluruh dunia bersatu, pastinya rancangan tersebut akan gagal.

Kembali kepada Osama Bin Laden, semoga Allah mencucuri rohnya...Al-Fatihah.

Ahad, 17 April 2011

Kopitiam:Halal tak?

Bulan Mac yang lalu telah dilaporkan mengenai sebuah kedai kopi yang menjual kopi yang mempunyai gelatin babi klik di sini .Kedai kopi atau dalam bahasa moden hari ini dikatakan telah beroperasi sejak 70 tahun lalu di negeri Johor dikatanya dikunjungi oleh 80% pelanggan beragama Islam. Perkara ini telah disahkan oleh Jabatan Agama Johor yang telah membuat serbuan ke atas kedai kopi tersebut di mana sampel kopi yang diambil disahkan positif gelatin babi.

Namun begitu, sehingga hari ini tidak pernah didedahkan secara rasmi apakah kedai kopi tersebut atau produk yang dikeluarkan? Pelikkan? Kalau sudah jelas tentang perkara ini mengapa tidak didedahkan? 

Hal ini pernah ditanyakan oleh seorang pemanggil sebuah radio di dalam satu slot berkaitan kepenggunaan kepada orang kuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia. Wakil persatuan tersebut telah memaklumkan bahawa mereka juga tidak mempunyai maklumat yang pasti tentang kedai tersebut. Walau bagaimanapun, wakil persatuan tersebut ada memberitahu bahawa mereka akan cuba mendapatkan maklumat tersebut tetapi sehingga kini aku masih belum melihat perkara ini didedahkan.

Pada pendapat aku, pendedahan ini perlu untuk kebaikan umat Islam dan kepada industri kopitiam ini sendiri. Walaupun di dalam laporan akhbar dinyatakan serba sedikit tentang kopitiam tersebut tetapi ianya tidak memadai. Bagi seorang muslim yang baik dan berhati-hati, dia akan meninggalkan terus dari meminum kopi yang disediakan oleh pengusaha beragama Islam, tapi jika seorang yang tidak kisah, dia akan minum dengan alasan tiada pengesahan.Kebaikan pendedahan kopitiam terlibat dapat melindungi perniagaan kopitiam lain yang akan menerima kesan tidak langsung dari perkara ini.

Sebenarnya, kita tidak sepatutnya hanya meletakkan tanggungjawab ke atas kerajaan atau pihak jabatan agama dalam hal berkaitan halal dan haram. Ini kerana mencari yang halal itu adalah sesuatu yang wajib ke atas kita sebagai seorang muslim. Tapi, seolah-olah trend hari ini atau penghayatan terlalu mendalam konsep 1Malaysia (walaupun senario ini sudah berlaku sebelum pengenalan konsep tersebut), aku lihat ramai orang Islam yang tanpa ragu-ragu makan di kedai-kedai makanan cina. Kalau tidak percaya, lihatlah di Restoran Sin Seng Nam di Leboh Pasar, Kuala Lumpur. Mungkin ramai yang akan berhujah bahawa ayam yang disembelih tetapi terfikirkah kita bahawa alatan memasak yang digunakan mungkin alatan yang sama memasak daging babi. Lagi pula restoran tersebut turut menghidangkan arak. Sedarlah bahawa makanan yang kita makan akan menjadi darah daging yang mana akan memberi kesan kepada ibadah, akhlak dan sebagainya.

Selasa, 5 April 2011

Porno di Parlimen???

Bila YB Karpal Singh mencadangkan supaya rakaman video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang, aku tidak terkejut. Dia bukannya faham hukum Islam. Apa yang dia katakan berdasarkan pandangan sekular dia.

Tapi, bila terdapat ahli-ahli parlimen dan individu-individu lain yang beragama Islam turut menyokong cadangan tersebut, aku tergamam dan menggeleng kepala. Alasan yang digunakan adalah "untuk mencari kebenaran". Adakah ini jelas menunjukkan mereka ini pun sekular sebagaimana Karpal Singh???

Kaedah feqah secara jelas memperuntukkan bahawa "MATLAMAT TIDAK HALALKAN CARA". Kita tidak dibenarkan menggunakan jalan yang salah dan dilarang walaupun tujuannya adalah untuk kebaikan. Sesuatu yang haram bila bercampur dengan yang halal tidak akan menjadikan perkara itu halal.Jelas sekali penayangan video tersebut adalah dilarang oleh Islam. Apatah lagi jika tujuannya adalah untuk mengaibkan individu tertentu ataupun hanya berlandaskan kepentingan politik sahaja.

Kemudiannya, Islam adalah satu agama yang cantik yang mana mengharamkan penganutnya daripada mendedahkan aib individu lain jika perkara tersebut tidak akan menyebabkan kezaliman terhadap individu yang lain. Jika sekiranya terhadap peruntukkan syarak bahawa perbuatan yang dilakukan oleh individu tersebut adalah sesuatu jenayah dalam hukum syarak dan rakaman tersebut adalah sebagai bukti, maka ianya perlulah diserahkan kepada pihak Mahkamah untuk tujuan perbicaraan. Penerimaan video tersebut sebagai bahan bukti mengikut hukum syarak adalah isu lain yang akan ditentukan di Mahkamah.

Sebenarnya, aku terfikir juga apa yang individu-individu yang menyokong penyiaran video tersebut di Parlimen terutama ahli-ahli parlimen fikirkan? Apakah yang mereka cuba sampaikan kepada generasi muda pada hari ini. Teringat lagi beberapa tahun lepas bagaimana isu filem-filem porno hebat didebatkan sehingga semua pihak mengutuk perkara tersebut. Tetapi hari ini seolah-olah ianya menjadi suatu yang dibenarkan. Malahan, terdapat pihak yang menyatakan bahawa tindakan memuat turun sebahagian dari video seks tersebut ke dalam You Tube adalah tindakan positif. 

DAN AKU JUGA HENDAK BERTANYA:
Tak malukah bila Parlimen kita mencipta sejarah sebagai
Parlimen pertama membuat tayangan video lucah?
Tapi, aku bersyukur bila bila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menyatakan seperti berikut:"During a Parliamentary session, MPs cannot even use unparliamentary words and throw baseless accusations. How can I allow the screening of something that is forbidden in Islam? It is purposely brought into the Dewan Rakyat". Alhamdulillah...

Ahad, 3 April 2011

Pelajar disiksa binatang!!!

Adakah seorang guru yang waras akan menyeksa pelajarnya ?
Takziah aku ucapkan kepada keluarga Allahyarham Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7 tahun yang meninggal dunia akibat dipukul oleh seorang guru kerana diruduh mencuri. Aku begitu terkejut bila menonton berita mengenai kes ini di TV. Kalau benarlah faktanya, aku lebih gemar memanggil dia sebagai "Binatang" dari menjatuhkan status guru-guru yang lain.

Menurut laporan berita dan pembacaan yang aku buat di internet, mangsa disyaki telah diikat di tingkat oleh guru tersebut yang juga merupakan warden di sekolah tersebut. Sebelum itu, guru tersebut telah dikatakan menerima laporan pelajar lain yang mengatakan mangsa telah mencuri duit pelajar lain.

Jika segala fakta yang dilaporkan adalah benar maka ia merupakan suatu perkara yang menyedihkan kerana ianya berlaku di sebuah sekolah agama. Sebagai seorang bekas pelajar sekolah agama, aku sememangnya berasa geram bila terdapat kes pukul yang melibatkan pelajar apatah lagi guru di sekolah-sekolah agama di seluruh negara. Aku akui bahawa kes-kes sebegini sememangnya berlaku, malah di sekolah biasa turut terjadi.

Jika benar fakta yang ini benar, maka aku sesungguhnya percaya bahawa guru tersebut sendiri tidak faham mengenai hukum Islam. Dalam Islam, tidak pernah dibenarkan mendera seorang yang dituduh melakukan sesuatu jenayah bagi mendapatkan pengakuan. Jika dia tidak mengaku, maka serahkan pada pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan. Dalam kes ini, jika sekalipun mangsa terbukti bersalah mencuri, dia tidak akan dihukum kerana dia bukan subjek kepada hukuman. Kenapa aku kata sedemikian? Kerana hukum hanya dikenakan ke atas seorang yang MUKALLAF, iaitu yang telah mencapai suatu umur dan mempunyai keupayaan untuk menentukan baik dan buruk. Mangsa berumur 7 tahun dan bukanlah seorang mukallaf. Jadi, apa yang diperlukan adalah mendidik bukan mendera.

Ya, kadang-kadang aku sendiri menjadi panas hati bila melihat perangai budak-budak yang nakal. Mahu dilempang rasanya. Tetapi, jika berbuat sedemikian, jelaslah kita ini hanya menurut hawa dan nafsu. Teringat satu ceramah di masjid Wangsa Maju, "Hidup kita ini macam naik bas. Kalau Pemandunya Nafsu, Konduktornya Akal, Penumpangnya Iman maka hancurlah hidup. Nafsu akan membawa kepada perkara yang jahat, akal memikirkan cara jahat melaksanakannya, maka Iman tak boleh buat apa. Maka pastikan Iman menjadi Pemandu, akal menjadi konduktor dan nafsu hanya penumpang yang mengikut sahaja arah yang dipandu oleh Iman."

Fikir-fikirkanlah...

Sabtu, 2 April 2011

POCO-POCO!!!

Setiap kali sesuatu fatwa dikeluarkan, maka akan ada suara-suara yang menyuarakan pendapat tidak berpuas hati dengan berbagai alasan dan pendapat. Sama seperti fatwa terbaru yang dikeluarkan oleh  Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak sebagaimana dinyatakan oleh Mufti Perak, Tan Seri Harussani mengenai tarian poco-poco. Fatwa yang dikeluarkan tersebut telah dinyatakan dengan jelas di dalam surat Jabatan Mufti Negeri Perak kepada Pengerusi, Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking Perak yang mana seperti berikut:-




Sebagai seorang yang tidak berminat dengan tarian poco-poco ini, maka aku dapat menerima fatwa pengharaman tarian tersebut. Namun begitu bagi mereka yang terlibat dengannya, maka agak sukar menerima sebagaimana para perokok tegar masih belum dapat menerima fatwa pengharaman rokok.

Aku sempat membaca artikel Dr. Asri Zakaria yang mana beliau secara berhemah berpendapat seperti berikut:-
"Untuk itu, dengan menghormati S.S Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan. Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah, atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan."

Aku ketika membaca artikel ini berasa gembira dengan sikap Dr. Asri dalam memberi pandangan beliau. Jelas sekali beliau tidak meletakkan perbezaan pendapat beliau sehingga hilang rasa hormatnya kepada ulama yang lain. Jelas sekali inilah yang dinamakan sebagai berbeza pendapat yang dikehendaki oleh agama. Tidak sebagaimana mana mereka yang lain, terutama dari golongan ahli politik yang hilang adab dan akhlak dalam berbeza pendapat. Dr. Asri telah memberikan dalil-dalil yang menjadi rujukan beliau dalam menyatakan bahawa tarian poco-poco adalah "harus" (Kepada yang berminat sila layari link berikut: http://drmaza.com/home/?p=1384#more-1384 ). Aku juga sempat membaca kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Syukri Mohamed yang meminta satu kajian menyeluruh dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu ini sebelum Negeri Kelantan memutuskan hukum tarian tersebut.

Kembali kepada isu poco-poco, aku rasa untuk diri aku dan peranan aku sebagai pemimpin keluarga aku, maka aku mengambil pendekatan untuk mengikut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Apabila ada keraguan pada sesuatu perkara, maka harus ditinggalkan. Itu yang terbaik. Kepada yang lain, terpulanglah kepada anda samada hendak mengikut fatwa tersebut atau tidak. Semoga Allah memberi petunjuk.